FOTO Nur Shazreen Zamzuri
Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: Sebanyak 39 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta serta penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Samseng Jalanan di Persiaran Masjid di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi dan berakhir 3 pagi itu, polis turut menyita sembilan motosikal dan dua kereta atas kesalahan ubah suai kenderaan.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Shah Alam, Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, tiga Ops Waran Tangkap Trafik (Op Warta) turut dikeluarkan bagi kesalahan pesalah trafik tegar yang enggan melunaskan saman selepas mahkamah mengeluarkan waran.

"Antara kesalahan lain ialah tiada lesen memandu, insurans dan cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan serta pengubahsuaian kenderaan.

"Operasi dilakukan selepas sambutan kemerdekaan kerana ketika itu mat rempit atau samseng jalanan terbabit dalam lumba haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 1:12 PM