PENJAGA gol KLHC, Muhamad Shafie (kanan) gagal menampan percubaan pemain Sapura.
Oleh Saiful Affendy Sapran dan Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) nyaris diaibkan Sapura semalam sebelum berjaya mencetak gol penyamaan untuk mengikut kedudukan 4-4 sekali gus meraih satu mata berharga pada saingan Liga Premier di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Turun dengan misi untuk mencari tiga mata penuh bagi membawa bekalan selesa sebelum turun pada perlawanan terakhir bertemu juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) Jumaat ini, anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mempamer aksi hambar sehingga satu ketika menyaksikan mereka ketinggalan 2-4 sebelum bangkit meraih dua gol di suku terakhir.

“Bagi saya satu mata yang kami raih hari ini umpama keputusan kalah sebab ia tidak membantu kami apabila bertemu THT pada perlawanan terakhir nanti.

“Apapun, pengajaran kepada setiap pemain ialah jangan membenarkan lawan bangkit untuk mendahului,” kata Dhaarma selepas tamat perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

KLHC ketinggalan 0-2 selepas Dangerous Lee serta Faridzul Afiq Mohd menjaringkan gol pada minit ke-8 dan 12.

Bagaimanapun, KLHC bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol Mohd Syamim Mohd Yusof dan Harvinder Singh m-13 dan 15.

Tekanan mula kembali dirasai KLHC selepas Sapura berjaya menambah dua gol menerusi Dangerous dan Norsyafiq Sumantri m-28 dan 38.

Ketika Sapura dilihat mampu meraih tiga mata penuh, Nabil Fiqri Mohd Noor serta Ali Shan mengecewakan lawan mereka itu apabila meledak gol untuk menyamakan kedudukan.

Dalam satu lagi perawanan, UniKL tewas 3-4 kepada TNB.

Sementara itu juara berganda musim lalu pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kedudukan teratas liga daripada KLHC apabila berjaya membenam Maybank 3-2 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Kehadiran lebih dua ribu peminat fanatik tuan rumah ternyata membakar semangat anak buah Sarjit Singh yang mengasak sejak awal permainan untuk memburu gol.

Bagaimanapun, pemain THT terpaksa menunggu pada babak kedua perlawanan untuk meledak gol pertama menerusi penyerang sensasi negara Faizal Saari yang menolak cantik hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

Selepas jaringan itu kesungguhan anak buah jurulatih Sarjit Singh untuk menambah jaringan kian terserlah dengan asakan bertali arus ke kubu lawan dan nyaris menambah jaringan namun tolakan Faizal tersasar.

Pada m-55 tuan rumah menambah derita pelawat untuk gol kedua juga menerusi Faizal.

Semangat melawan pelawat tidak luntur apabila berjaya merapatkan jaringan menerusi sudut penalti yang disempurnakan Muhamad Irfan m-58.

Selang seminit kemudian, Faizal melengkapkan hatriknya sebelum pelawat sekali lagi merapatkan jurang dengan gol kedua m-60 menerusi Hafifi Hafiz Hanai.

“Biarpun menang tipis ke atas pelawat secara keseluruhan saya tetap puas hati apabila dapat kutip tiga mata.

“Lebih manis THT berjaya merampas kedudukan teratas liga daripada KLHC dan peluang untuk menjuarai liga kian cerah,” katanya.

Di Staduum Hoki Nasional Bukit Jalil, UniKL tewas kepada TNB 3-4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:21 AM