AKSI pelumba SuperSports 600cc di selekoh.

Kuala Lumpur: Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing Norizman Ismail menceriakan kem negara apabila berjaya menghadiahkan gelaran juara bagi kategori Underbone 130cc Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

Dia menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’37.225s menewaskan juara Perlumbaan 1, Gupita Kresna Wardhana (Manual Tech KYT Rextor) yang menamatkan saingan di tempat kedua 17’37.413s dan Ferlando Herdian (BKMS Indonesia Racing Team) ketiga, 17’37.561s.

Norizman kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 118 mata, 33 mata di belakang pendahulu, Gupita yang mengumpul 151 mata manakala Ferlando ketiga, 107 mata.

Sementara itu Yuki Takahashi meraih kemenangan kedua apabila sekali lagi mengungguli perlumbaan Su
perSports 600cc.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mengulangi pencapaian memenangi Perlumbaan 1, kelmarin apabila menamatkan 16 pusingan Perlumbaan 2 dengan masa keseluruhan 26’50.020s.

Bekas pelumba Moto2 itu selesa mendahului pemenang tempat kedua, Tomoyoshi Koyama (T.Pro Yuzy Honda NTS) dengan kelebihan 8’487s manakala Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki) ketiga 26’58.507s.

“Perlumbaan 2 kali ini lebih sukar berbanding Perlumbaan 1. Ratthapong sangat pantas mungkin kerana untuk meraih kemenangan di hadapan penyokongnya sendiri namun mungkin faktor tekanan menyebabkan dia melakukan kesilapan dan terjatuh di selekoh kelima pada pertengahan perlumbaan,” jelas Takahashi.

Selepas empat pusingan, Takahashi mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 127 mata, 10 mata meninggalkan Koyama di kedudukan kedua dengan 117 mata manakala Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di tangga ketiga dengan 91 mata.

Dalam saingan Asia Production 250cc, Nakarin Atiratphuvapat turut merekod kemenangan berganda setelah muncul juara perlumbaan dengan masa 20’02.246s menewaskan rakan sepasukan, Sitthisak Onchawiang kedua dengan hanya 0.247s di belakang dan ketiga Takehiro Yamamoto (Trickstar Racing) 20’02.552s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:17 AM