Sudah lama sebenarnya Cik Pang dengar cerita mengenai pelawak seorang ini yang memang kaki perem­puan. Pada awalnya ingatkan dia nakal-nakal manja, maklumlah lelaki setakat suka usik-usik atau ‘usha’ bak kata slanga bebudak muda sekarang biasa la.

Rupa-rupanya dalam nakal-nakal manja itu, ada sumber memberitahu Cik Pang yang dia sudah sangkut dengan perempuan cantik jauh lebih muda darinya.

Kita hairan macam mana perempuan muda dan cantik itu boleh sangkut dengan pelawak ini. Kalau dinilai dari paras rupa, memang jauh pang­gang dari api kalau hendak dibandingkan dengan Zizan Razak, Johan Raja Lawak atau Nabil Ahmad.

Disebabkan dapat pucuk muda, pelawak itu tidak melepaskan peluang. Dalam diam, dia sudah merancang untuk bernikah lagi. Lebih menarik, pucuk muda yang mahu dinikahi itu bakal menjadi isteri ketiga.

Hubungan pelawak dengan pucuk muda itu tadi dapat dihidu isteri pertama yang cuba menghalangnya. Dalam tempoh itu, sumber bercerita kepada Cik Pang, sering juga pelawak terbabit berantakan dengan isteri pertama.

Tidak cukup dengan itu, isteri pertama turut meminta bantuan isteri kedua untuk masuk campur dan menasihati pelawak terbabit supaya tidak tambah isteri lagi.

Walaupun sedar pelawak itu berhak untuk berkahwin lagi, tetapi apa yang menjadi kerisauan isteri pertama, pelawak itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik apabila sudah berkahwin tiga.

Benarlah seperti dijangka, tanpa pengetahuan isteri pertama, pelawak terbabit dikatakan bernikah dengan pucuk muda dan bermulalah episod sedih yang berlaku kepada isteri pertama.

Namun kata sumber, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada isteri kedua kerana lebih banyak berhubung atau lebih tepat menjadi tempat mengadu isteri pertama.

Dari isteri pertama, sumber dapat tahu madunya tidak mahu campur kerana bimbang selepas dapat pucuk muda, pelawak itu akan menceraikannya.

Selepas bernikah baru, pelawak itu dikatakan tidak lagi pulang ke rumah dan tanggungjawab sebagai suami mula dilupakan seperti menghantar belanja rumah dan me­ngabaikan anak-anak.

Disebabkan tidak tahan dengan apa yang berlaku, isteri pertama mengambil keputusan meninggalkan rumah kerana tidak sanggup lagi diperlakukan seperti tunggul. Malah pelawak itu turut mengugut akan menggantung isteri pertamanya tanpa dipedulikan.

Kasihan sungguh Cik Pang apabila mendengar cerita ini. Rasanya, kes seperti ini sudah banyak berlaku. Bukan saja membabitkan mereka yang berkahwin dengan artis tetapi juga orang biasa.

Nasihat Cik Pang kepada isteri pertama pelawak ini, jika mahu menyelesaikan masalah pergilah bertemu dengan orang yang tepat seperti persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu atau membela nasib wanita teraniaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:02 AM