TANDA pesakit menghidap melanoma.
PESERTA yang juga wakil media di bengkel onkologi anjuran syarikat farmaseutikal, MSD, di Singapura, baru-baru ini.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kanser kulit berasal daripada sel lapisan kulit yang berlainan dan tiga jenis kanser kulit yang utama ialah karsinoma sel basal, karsinoma sel skuamos dan melanoma.

Namun, melanoma adalah kanser kulit yang paling dahsyat kerana ia boleh membesar dan merebak dengan cepat. Walaupun melanoma dihidapi kurang lima peratus daripada keseluruhan kes kanser kulit, ia penyumbang kematian terbesar bagi penghidap kanser kulit.

Kulit merangkumi lapisan epidermis dan dermis adalah organ terbesar tubuh untuk perlindungan daripada haba, cahaya matahari, kecederaan dan jangkitan. Malah, kulit juga mengawal suhu tubuh dan menyimpan air, lemak dan vitamin D.

Kanser kulit bermula di bahagian epidermis yang membabitkan tiga jenis sel iaitu sel skuamos yang membentuk bahagian luar epidermis dan sel basal di bawah sel skuamos, manakala melanocyte yang menghasilkan melanin (pewarna semula jadi kulit) di bahagian paling bawah epidermis.

Melanoma berlaku apabila sel kanser terbentuk di bahagian melanocyte. Kanser ini yang bermula di kulit dipanggil cutaneous melanoma. Selain kulit, bahagian tubuh lain yang terjejas akibat kanser jenis ini ialah lapisan paling dalam (mukosa) pada hidung, mulut, saluran gastrointestinal, dubur dan kemaluan wanita sebelum merebak ke paru-paru, hati, tulang dan otak.

Dalam kalangan lelaki, melanoma biasanya timbul di kawasan antara bahu dan pinggul atau kepala dan leher, manakala dalam kalangan wanita kanser ini biasanya di kawasan lengan dan kaki. Malah, melanoma juga boleh terbentuk di bahagian mata (ocular melanoma).

Kanser ini merebak ke bahagian lain tubuh melalui tiga cara; pertama, ia membesar melalui tisu berhampiran tempat sel kanser mula-mula tumbuh. Kedua, sel kanser memasuki sistem limfa sebelum bergerak melalui saluran limfa ke bahagian lain tubuh; dan ketiga, dibawa darah apabila sel kanser memasuki saluran darah dan bergerak ke bahagian lain tubuh.

Melanoma yang merebak ke bahagian lain dalam tubuh dipanggil metastatik melanoma. Contohnya, melanoma pada peringkat awal dikesan tumbuh di lengan sebelum ia merebak dengan tiga cara terbabit dan kemudian hinggap di paru-paru. Sel kanser ini dikenali metastatik melanoma, bukan kanser paru-paru.

Saiz kanser ini pada tahap satu hanya berukuran kurang satu milimeter atau kurang dua milimeter jauh ke dalam lapisan kulit sama ada dengan atau tanpa ulser. Tahap dua, kanser membesar melebihi dua milimeter atau kurang empat milimeter sama ada dengan atau tanpa ulser.

Tahap tiga, kanser sama ada dengan atau tanpa ulser sudah merebak ke satu atau lebih nodus limfa dan nodus limfa dengan kanser itu kemudian berkumpul. Kanser juga memasuki saluran limfa dan ketumbuhan kecil juga ditemui dalam lapisan kulit dalam lingkungan dua sentimeter daripada ketumbuhan utama. Tahap empat apabila kanser sudah merebak ke organ lain jauh dalam tubuh.

Insiden melanoma meningkat sejak 40 tahun lalu dengan purata usia penghidapnya dikesan dengan kanser ini adalah 61 tahun. Sebelum usia 45 tahun, kadar insiden lebih tinggi dikesan dalam kalangan wanita, pada usia 60 tahun kadar insiden dua kali ganda dikesan dalam kalangan lelaki, manakala pada usia 80 tahun kadar insiden meningkat tiga kali ganda dalam kalangan lelaki

Dianggarkan 232,130 kes baru melanoma didiagnosis di seluruh dunia pada 2012 dan anggaran 73,900 kes baru bakal didiagnosis di Amerika Syarikat tahun ini termasuk anggaran 9,940 penghidapnya maut akibat kanser terbabit.

Menurut pakar perubatan Bahagian Hematologi-Onkologi, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Peringatan Chang Gung (Taiwan), Profesor Madya Dr John Chang Wen-Cheng, pendedahan kepada sinaran ultralembayung (UV) adalah risiko utama dan individu yang terdedah kepada sumber sinaran seperti lampu menggelapkan kulit (tanning lamp) dalam tempoh jangka panjang juga berisiko tinggi mendapat kanser kulit termasuk melanoma.

Malah, mereka yang mempunyai tahi lalat ganjil sama ada banyak atau bersaiz besar daripada biasa sebenarnya berisiko tinggi mendapat melanoma. Faktor risiko lain adalah mereka yang berkulit cerah dengan ciri-ciri mudah mendapat jeragat dan selaran matahari serta berambut perang.

Mempunyai sejarah anggota keluarga yang pernah menghidap melanoma atau tahi lalat ganjil, mempunyai sistem imun yang lemah dan mengalami masalah kulit terlalu sensitif terhadap cahaya dikenali xeroderma pigmentosum atau perubahan dalam gen yang dikaitkan dengan melanoma.

“Di Asia, punca biasa bagi melanoma yang muncul di kulit (cutaneous melanoma) adalah pendedahan kepada sinaran UV tetapi punca bagi melanoma yang muncul di tapak tangan, tapak kaki dan kuku (acral melanoma) kebanyakannya bukan disebabkan sinaran berkenaan.

“Sebanyak 58 peratus berpunca sama ada akibat kecederaan atau bahan kimia pertanian. Di Taiwan, insiden melanoma lebih tinggi berlaku dalam kalangan petani berbanding bukan petani.

“Di Korea Selatan pula, tekanan fizikal yang kronik dilaporkan mempengaruhi insiden dan penyebaran corak acral melanoma,” katanya ketika membentangkan mengenai landskap, isu dan rawatan baru melanoma di bengkel onkologi untuk media, baru-baru ini.

Bengkel berkenaan dianjurkan syarikat farmaseutikal, MSD, sempena mesyuarat saintifik tahunan pertama Persatuan Onkologi Singapura (SSO), Best of Asco (BASCO) 2015 dan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec, Singapura.

Seramai 11 wakil media cetak dan elektronik Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan menyertai bengkel itu dengan lima pakar berkaitan onkologi dan kanser daripada Australia, Taiwan dan Singapura hadir sebagai ahli panel.

Dr Chang berkata, tanda-tanda melanoma termasuk perubahan pada tahi lalat sedia ada apabila timbul kelainan pada saiz, bentuk dan warna. Malah, tahi lalat mempunyai bucu tidak sekata dan lebih satu warna, selain itu tahi lalat juga gatal, berdarah kerana wujud ulser. Tanda lain ialah per­ubahan pada kulit apabila tompokan pigmentasi ganjil muncul pada kulit.

“Bagi mendiagnosis melanoma, biopsi dilakukan dengan mengambil sampel tisu dari kawasan disyaki melanoma dan dihantar ke makmal bagi menguji kehadiran sel kanser.

“Doktor akan memeriksa tahi lalat atau bahagian kulit yang terjadi tompokan ganjil dari segi warna, saiz, bentuk dan teksturnya,” katanya

Peringkat awal melanoma boleh dipulihkan dengan melakukan pembedahan membuang tahi lalat atau tompokan pigmentasi ganjil, namun melanoma semakin sukar dirawat apabila ia menghampiri peringkat akhir. Selain pembedahan, rawatan yang biasa dilakukan bagi melanoma adalah kemoterapi, terapi radiasi, terapi sasaran dan imunoterapi

“Bagi melanoma yang tidak boleh diatasi dengan pembedahan, kemoterapi dan terapi cytokin adalah rawatan yang biasa dilakukan di kebanyakan negara Asia Tenggara manakala pilihan nadir seperti terapi sasaran dan imunoterapi adalah rawatan piawaian baru.

“Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika (FDA) sudah meluluskan tujuh jenis ubatan untuk kaedah imunoterapi iaitu ipilimumab, peginterferon alfa-2b, vemurafenib, dabrafenib, trametinib, pembrolizumab dan nivolumab,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, kaedah imunoterapi mengubah landskap rawatan kanser apabila rawatan berasaskan sistem imun dapat membunuh sel kanser tanpa mendatangkan kesan sampingan yang serius kepada pesakit, di samping tidak menjejaskan sel normal yang lain.

Imunoterapi adalah rawatan yang menggunakan sistem imun pesakit sendiri bagi melawan kanser iaitu dengan memanfaatkan kuasa semula jadi sistem imun. Disebabkan ciri-ciri sistem imun yang unik, kaedah rawatan ini dikatakan lebih baik melawan kanser berbanding kaedah semasa, di samping meningkatkan jangka perlindungan untuk menyekat kanser menyerang semula, kurang kesan sampingan dan berupaya merawat kanser jenis lain.

Pakar onkologi di ICON Cancer Care (Australia), Profesor Dr Paul Mainwarning berkata, satu fungsi tindak balas imun tubuh adalah mengesan dan memusnahkan sel kanser menerusi sel-T yang aktif, di samping mekanisme lain. Bagaimanapun, segelintir sel kanser mampu mengelak daripada tindak balas imun itu.

Titik pusat imun seperti CTLA-4, PD-1, GITR dan LAG-3 berfungsi pada fasa yang berbeza dalam tindak balas imun untuk mengawal selia tempoh dan tahap tindak balas sel-T.

“Dalam penyelidikan baru-baru ini terbukti bahawa sistem imun kita menjadi sekutu dalam melawan kanser. Tindak balas imun tubuh menerusi sel-T yang aktif dan mekanisme lain berupaya mengesan dan memusnahkan sel kanser dan mencegah daripada kanser merebak ke organ lain.

“PD-1 dikenal pasti sebagai titik pusat imun atau molekul yang dieksploitasi oleh sel kanser untuk mengelak pengawasan imun. Sel kanser menyekat tindak balas imun melalui PD-1 dengan mengeluarkan PD-L1 dan PD-L2. Kedua-duanya kemudian bertaut pada reseptor PD-1 dalam usaha menyahaktifkan sel-T sekaligus membolehkan sel kanser mengelak tindak balas imun,” katanya.

Penggunaan ubatan imun-modulasi dikenali perencat titik pusat dalam imunoterapi mengubah dimensi dalam bidang rawatan kanser apabila ia bekerja dengan menyekat molekul yang bertindak umpama brek pada sistem imun.

Perencat titik pusat melonggarkan sekatan dan membolehkan daya imun yang lebih kuat melawan kanser dengan meningkatkan tindak balas antikanser imun sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:02 AM