ISMAIL menunjukkan mi tarik hidangan popular dari Lanzhou.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Masakan tradisional yang halal dengan harga berpatutan menjadi kriteria terpenting Restoran Cina Muslim Amber dari Lanzhou, China ini.

Bagi segelintir orang, Lanzhou mungkin kedengaran asing, namun mengikut catatan sejarah, bandar berkenaan terletak dalam laluan sutera dan menjadi pusat agama Islam di China.

Lebih 40 menu makanan disediakan dan dibahagi kepada empat seksyen iaitu hidangan sejuk yang juga pembuka selera, hidangan panas, pelbagai mi tarik dan masakan panggang di Restoran Cina Muslim Amber ini yang terletak di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur.

Dengan membawa pe­ngaruh gaya masakan dari wilayah utara China yang menjadikan daging kambing dan lembu sebagai bahan asas serta penggunaan ba­nyak cili, turut diperkenalkan hidangan popular Lanzhou iaitu mi tarik atau ‘La Mien’.

Pengarah Restoran Cina Muslim Amber, Ismail Nuh @ Cui Wei berkata, Malaysia adalah cawangan luar negara pertama rangkaian restoran masakan Cina Muslim dari Amber Group Holding selepas pihaknya membuka 19 cawangan di China sejak lapan tahun lalu.

Beliau memilih Malaysia sebagai tapak untuk melebar sayap dalam perniagaan makanan di luar China kerana beranggapan negara ini sangat dekat di hatinya berikutan pernah menetap di Terengganu selama lima tahun pada 1994.

“Pada tahun berkenaan, saya antara 30 pelajar Cina Muslim dari China yang diterima belajar oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengikuti pengajian Islam (Usuluddin) di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya.

Mengenai hidangan Cina Muslim di restoran berkenaan, Ismail berkata, pihaknya menggunakan rempah-ratus yang dibawa khas dari China bagi mengekalkan rasa asli, selain bahan masakan yang tidak ada di pasaran tempatan seperti lada liar Sichuan (wild pepper) atau dikenali sebagai ketumbar Cina.

“Masakan Cina Muslim banyak diasaskan oleh bangsa Hui iaitu etnik Cina Muslim di China. Oleh kerana kami berasal dari utara, masakan banyak dipengaruhi penggunaan cili. Ini kerana, penduduk dahulunya banyak menghuni kawasan berbukit-bukau dengan suhu sejuk dan bagi melawan cuaca dingin, mereka banyak makan pedas dan daging terutama kambing untuk menaikkan suhu badan.

“Namun, masakan Cina Muslim di restoran ini diubah suai sedikit daripada segi bahan masakan supaya menepati selera tempatan. Bagaimanapun, cara penyediaannya tidak berbeza dan disediakan sendiri jurumasak yang juga dibawa dari China.

“Harga makanan dan minuman serendah RM2 hingga RM48 dan hidangan bersaiz besar disediakan untuk lapan orang makan,” kata­nya.

Dengan mengusung konsep Cina Muslim klasik, Ismail menggunakan perabot berlatarkan kayu dalam mendekorasi restoran berkenaan. Penggunaan lampu limpah yang kuning suram di setiap ruang sebagai pencahayaan memberikan suasana tenang, ditambah muzik dimainkan sederhana mendamaikan jiwa tatkala menjamu selera.

Ruang koridor restoran yang luas juga memberi keselesaan kepada pelanggan, selain mampu memuatkan kapasiti seramai 130 pelanggan pada satu-satu masa. Bagi menambah keselesaan, turut disediakan bilik VIP untuk majlis persendirian.

Menu wajib cuba sudah tentu mi tarik yang ha­nya dibuat ketika hendak disajikan. Hidangan ringkas Mi Tarik Daging Cincang disediakan bersama sup panas dan minyak cili serta hirisan daging menjadikan sajian ini terasa me­nyelerakan. Namun, pelanggan boleh mencuba menu lain Mi Tarik Daging Tomato, Mi Tarik Sayur Campur dan Mi Tarik Goreng Daging Cincang.

Bagi hidangan ala carte masakan panas, antara menu disediakan ialah Kambing Rebus Bersama Sos Kuning, Kambing Toothpick, Daging Masak Cili Berkuah, Ayam Big Plate Bersama Cili, Ikan Masak Cili Berkuah, Kepala Ikan Kukus Bersama Sos Berlada, Tofu Sizzling dan Udang Goreng Pedas Bersama Kentang.

Masakan panggang yang pasti menggugat selera seperti Kambing Panggang, Kaki Kambing Panggang, Sotong Bakar, Kebab Ayam, Kebab Daging, Kebab Kambing dan Kepak Ayam Pang­gang. Sajian pembuka selera pula, pelanggan boleh memesan Ayam Kampung Sos Pedas, Itik Perap Ala Shanghai, Daging Diraja dan Kambing Cendawan Enoki.

Minuman istimewa adalah minuman hangat campuran lapan herba iaitu buah goji, kurma merah, bu­nga kekwa, buah bidara, teh hijau, bijan dan kacang walnut. Pilihan minuman lain lebih tertumpu kepada campuran pelbagai herba lain seperti bunga mawar, limau gedang dan madu, manakala minuman manis lain seperti jus jagung, epal dan tembikai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:01 AM