Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Md Zuki Ismail meninggal dunia jam 1.35 petang hari ini di Wad Bunga Raya Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, akibat serangan angin ahmar.

Jurucakap MADA berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Raidzoh Mohd Akhir, 58, dan tiga anak lelaki serta seorang anak perempuan.

Katanya, Allahyarham dimasukkan ke wad di HSB sejak Selasa lalu akibat serangan angin ahmar kira-kira jam 6.30 pagi di rumahnya di Lorong Pipit 3, Off Jalan Sultanah, di sini.

"Saya difahamkan Allahyarham diserang angin ahmar secara tiba-tiba sebaik bangun tidur Selasa lalu dan dikejarkan ke sini (HSB) untuk rawatan lanjut, namun keadaanya semakin lemah selepas lima hari dirawat dan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSB, di sini, hari ini.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Lorong Pipit sebelum dibawa ke Masjid Ayer Hitam, Jerlun untuk solat jenazah dijangka 6 petang ini.

"Allahyarham adalah anak jati dari Kampung Lubuk Pinang, Jerlun dan menetap di Alor Setar sejak kira-kira 30 tahun lalu selepas memulakan kariernya bersama MADA pada tahun 1985 sebagai Pegawai Pertanian," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:07 PM