PEMAIN KLHC, Kevin Frederick Lim (kanan) membuat pukulan sambil diasak pemain UniKL.

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas UniKL di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu berada di depan seawal minit keempat hasil jaringan padang pemain import, Ali Shan selepas melakukan pukulan deras di dalam kawasan separuh bulatan.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, UniKL kembali bangkit pada minit ke-25 apabila Richard Sykes tidak mempersiakan peluang memperoleh pukulan sudut penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.

Perlawanan yang dijangka berakhir dengan keputusan seri berubah apabila KLHC menggandakan asakan pada suku akhir dengan menambah tiga lagi gol termasuk dua disumbangkan ketua pasukan, Muhammad Razie Abd Rahim.

Bagaimanapun, Muhammad Noor Faeez Ibrahim terlebih dulu menjaringkan gol pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti, diikuti penalti stroke yang diambil Razie di minit ke-51 dan pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Menurut Dhaarma Raj, sebelum perlawanan bermula beliau menerangkan kepada pemain bahawa perlawanan semalam sangat penting dan berdepan dengan pasukan yang tidak menghadapi sebarang tekanan.

“Kami bermula dengan baik pada awal permainan apabila menjaringkan satu gol. Jika meneruskan rentak sama kami mampu membunuh perlawanan ini. Bagaimanapun, mereka berjaya menyamakan kedudukan dan tekanan mula dirasai,” katanya selepas tamat perlawanan.

Jelasnya, pemain mula melakukan kesilapan pada suku kedua dan ketiga dalam usaha mencari gol tambahan.

“Selepas itu saya tidak sangka dapat menambah tiga lagi gol di suku terakhir dan mencatatkan kemenangan mudah. Secara keseluruhan saya berpuas hati dan gembira dengan kemenangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:07 AM