REKAAN tepati cita rasa Muslimah gemar mengikut trend semasa.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Mudah dan pantas digayakan adalah ciri penting yang mesti ada pada rekaan pakaian pilihan wanita berkerjaya serta berkeluarga kerana faktor kekangan masa yang tidak mencukupi untuk bersiap ke pejabat selain perlu menguruskan urusan rumah tangga setiap pagi.

Bukan itu saja, pakaian yang digayakan itu juga perlu mempunyai ciri tambahan lain yang boleh disesuaikan dan dipakai tanpa mengira masa, tempat serta majlis kerana ia menjimatkan kos perbelanjaan.

Keperluan inilah yang mencetuskan idea kepada Farhana Abdul Kamil untuk membuka perniagaan secara dalam talian pada 2014 dengan menggunakan nama butik Fana Kamil.

Wujudnya jenama berkenaan sememangnya tidak pernah dirancang apatah lagi terlintas di fikiran pemilik butik muda ini. Namun, dia tidak pernah berputus asa untuk mengetengahkan koleksi helaian bermula daripada tudung, baju dan seluar untuk memudahkan wanita pelbagai lapisan usia mengenakannya dengan lebih yakin serta selesa.

Lebih menarik apabila setiap helaian sedia dipakai yang diketengahkan mudah disuai padan, tidak perlu menggunakan sebarang pin (untuk tudung atau selendang) selain rekaannya menepati cita rasa Muslimah yang gemar mengikut trend semasa.

Mengekalkan konsep sedia dipakai, kesesuaian material yang digunakan juga memainkan peranan penting. Justeru, Farhana akan memilih material yang mudah dicuci dan digosok untuk memudahkan setiap helaian digayakan dengan pantas.

Rancangan akan datang, Farhana mahu menampil­kan pakaian mesra penyusuan, lelaki dan kanak-kanak bagi memudahkan pelanggannya mendapat­kan gaya diinginkan untuk seisi keluarga dalam satu butik melalui laman sosial Instagram, Fanakamil Clothing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:01 AM