Keadaan rumah di sebelah tangki air yang pecah di Lebuhraya Kuala Perlis Changlun, malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Dua rumah di Kampung Terus Teritip, Kuala Perlis rosak teruk ditimpa serpihan besi dan bergelen-gelen air selepas satu daripada dua tangki air terletak bersebelahan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun yang membekalkan air bagi seluruh penduduk Kuala Perlis, pecah malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mangsa, Nuraliza Noh, 32, berkata, sebelum kejadian dia bersama ahli keluarganya berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat di tangki berkenaan dan serpihan besi dari tangki itu jatuh menembusi siling rumah saya.

“Pada masa sama bergelen-gelen air dari tangki berkenaan mengenai rumahnya serta sebuah lagi rumah di belakang kawasan rumahnya itu.

"Seluruh rumah dibanjiri air. Mujurlah anak saya sempat menarik saya keluar dari rumah," katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat menyelamatkan barangan peribadi seperti telefon bimbit, televisyen dan perabot.

"Apapun saya bersyukur kesemua ahli keluarga saya selamat," katanya lagi.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis Mat Hassan turut melawat tempat kejadian.

Sementara itu, kawasan tangki serta rumah yang rosak itu kini sudah ditutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 12:18 AM