Lori mengandungi 71 mayat pendatang dipercayai dari Syria yang ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Austria ditunda ke pusat kastam di Eisenstadt, Austria, untuk mengeluarkan mayat. - Foto AFP
Keranda berisi mayat pendatang yang mati dalam lori yang ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Austria, tiba di pusat forensik di Vienna, petang tadi. - Foto AFP

Vienna: Lapan wanita dan empat kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan antara 71 pendatang yang mati kelemasan dalam lori sejuk beku ditemui ditinggalkan di tepi jalan dekat sempadan Austria dengan Slovakia dan Hungary semalam.

Jurucakap polis Austria, Hans Peter Doskozil, berkata tiga orang termasuk seorang lelaki dipercayai pemilik lori berkenaan, sudah ditahan di Hungary.

“Sebanyak 71 mayat ditemui dalam lori itu, iaitu 59 lelaki, lapan wanita, tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan, sembilan dan 10 tahun serta seorang bayi perempuan berusia antara satu hingga dua tahun.

“Polis juga menemui dokumen perjalanan Syria dan berdasarkan itu, mereka diandaikan dari Syria,” katanya di Eisenstadt hari ini, dekat sempadan Slovakia dan Hungary, tempat lori berkenaan ditemui.

Menurutnya, bedah siasat akan menentukan masa serta punca kematian walaupun setakat ini sesak nafas dianggap punca kematian.

Doskozil berkata, polis Hungary menahan tujuh orang, termasuk seorang rakyat Bulgaria berasal dari Lubnan yang dipercayai pemilik lori berkenaan dan empat daripada mereka kemudian dibebaskan.

Lori 7.4 tan menggunakan nombor plat Hungary itu mempunyai label syarikat ternak Slovakia. Mayat dalam lori itu sudah mula mereput dan polis percaya pemandunya dipercayai meninggalkan kenderaan itu 24 jam sebelum ia ditemui. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:36 PM