LORI balak yang gagal dikawal terbalik mengakibatkan pemandu lori maut di tempat kejadian. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang pemandu lori berusia 40-an maut selepas kenderaan membawa muatan balak dipandunya itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di kilometer 10 Jalan Simpang Pulai -Cameron Highlands, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi tadi, mangsa maut di tempat kejadian selepas parah di beberapa bahagian anggota badan dipercayai akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, butiran diri mangsa masih belum diperoleh selepas dipercayai hilang dalam kemalangan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh tajam menuruni jalan berbukit mengakibatkan lori berkenaan terbabas memasuki longkang sebelah kanan laluan itu sebelum terbalik.

"Mangsa yang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan, menghala ke Ipoh dengan membawa muatan balak pelbagai jenis maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

LORI balak yang gagal dikawal terbalik mengakibatkan pemandu lori maut di tempat kejadian. FOTO ihsan Bomba

Tamat////16

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:20 AM