Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holding (F&N) menjangkakan projek pembangunan bercampur, Dataran Fraser di Petaling Jaya dengan nilai pembangunan kasar (gdv) RM1.7 bilion akan dilancarkan pada April 2015 untuk fasa pertamanya.

Mengikut perancangan F&N, projek hartanahnya itu meliputi pusat beli-belah, rumah kecil pejabat kecil (SOHO), hotel dan pejabat korporat yang mengambil masa enam tahun tempoh pembangunan bermula tahun depan.

Pengarah Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas F&N, Datuk Ng Jui Sia (gambar) berkata, syarikatnya akan membangunkan tiga menara kediaman yang mempunyai 900 unit rumah.

Beliau berkata, F&N bakal membangunkan fasa pertama terdiri daripada 300 unit kediaman dan fasa seterusnya akan dibangunkan mengikut permintaan.

“Segmen perniagaan hartanah masih di peringkat permulaan untuk menilai sumbangannya kepada kumpulan dan dijangka dalam peratusan kecil.

“Namun, ia menjadi segmen penting kepada syarikat untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan,” katanya pada taklimat kewangan F&N yang berakhir 30 September 2014, di sini, semalam.

Dalam keputusan itu, F&N mencatatkan peningkatan keuntungan 8.9 peratus kepada RM3.82 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya berikutan sumbangan besar semua unit perniagaannya terutama Dairies Thailand yang mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:05 AM