Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Ini semua auta. Kalau benar PBATM (Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia) mendakwa mereka cuma lewat bayar, mengapa semua pemain sudah dapat gaji untuk Jun sebaliknya saya, tidak. Adakah terlupa atau buat-buat lupa?”

Itu persoalan dilontarkan B Sathianathan berhubung kemelut melanda dirinya dengan PBATM apabila mengakui sudah hilang sabar terutama selepas membaca kenyataan PBATM menjelaskan pihaknya bukan enggan melunaskan gaji pengendali terbabit, tetapi cuma lewat seperti mana berlaku ke atas pasukan lain.

Bagaimanapun, Sathianathan beranggapan alasan itu sandiwara baru yang cuba dimainkan susulan laporan media sebelum ini mengenai kemungkinan besar wang deposit PBATM bagi menyertai saingan Liga Malaysia akan ditarik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya badan induk itu masih berdegil menyelesaikan isu berbangkit.

“Selepas isu ini keluar di akhbar tempoh hari, barulah mereka (PBATM) menghubungi saya untuk berjumpa, tapi saya tidak dapat hadir kerana komitmen lain yang ada ketika itu.

“Saya minta agar perjumpaan dibuat pada tarikh lain dan hingga ke hari ini masih belum ada apa-apa perkembangan terbaru. Saya sedikit marah dengan kenyataan presiden apabila beliau mengatakan gaji saya hanya akan dibayar lewat.

“Jika benar lewat, mengapa pemain ATM sudah menerima gaji Jun, namun saya sampai hari ini (semalam) masih belum terima. Patutnya kalau pemain dibayar sudah tentu semua pegawai pasukan termasuk jurulatih turut menerimanya sebab saya juga masih jurulatih sah pasukan.

“Lagi satu yang saya hairan, sekiranya gaji dibayar lewat, mana notis atau pemberitahuan mengenai kelewatan itu. Malah, ketika saya sendiri cuba mendapatkan penjelasan mereka, pihak pengurusan hanya diam dan buat tidak tahu saja. Macam inikah cara mereka berkerja?” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro Sabtu lalu, PBATM komited untuk menyelesaikan kemelut kedua-dua belah pihak, dengan Timbalan Presiden Datuk Mazelan Kasap akan menentukan nasib bekas pengendali kebangsaan itu.

Menurut PBATM, definisi rehat yang dikenakan ke atas Sathianathan sebelum ini perlu difahami dari sudut pengertian ketenteraan terutama selepas prestasi merudum pasukan di awal saingan Liga Super.

“Mereka cakap saya direhatkan mengikut istilah dunia tentera, tapi ini liga tentera ke? Patutnya kita kena ikut peraturan FIFA bukannya tentera kerana dalam peraturan FIFA mana ada istilah rehat sebaliknya pecat atau digugurkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:12 AM