NAJIB mengumumkan pelantikan Abdul Wahid (kiri) sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Ekonomi di Putrajaya. FOTO Bernama
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang juga dianggotai oleh sembilan individu daripada pemimpin korporat dan perbankan serta swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, JKE berperanan mempertimbang perancangan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas ekonomi Malaysia termasuk dalam isu semasa nilai Ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan dan mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

Beliau berkata, mesyuarat pertama JKE akan berlangsung awal minggu depan malah, jawatankuasa itu juga akan bermesyuarat seminggu sekali atau lebih kerap jika perlu.

"JKE akan membantu kerajaan menghadapi cabaran ekonomi semasa dan ia dibentuk dalam tempoh masa terhad dan akan ditamatkan sehingga kemelut ekonomi kembali stabil.

"Jawatankuasa itu juga berhak menjemput mana-mana ahli ekonomi yang mempunyai cadangan bernas untuk diketengahkan. Jika cadangan itu bernas, ia boleh dibawa untuk pertimbangan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 1:57 PM