AHMAD Zailani (kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas. FOTO Rozainah Zakaria
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Dungun: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 74.94 gram, pil kuda serta wang tunai RM1,515 dalam dua serbuan berasingan di Dungun, hujung minggu lalu.

Dua suspek masing-masing berusia 36 tahun dan 31 tahun ditahan di kawasan semak Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya dan Jalan Beril Indah, Paka pada Sabtu dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, suspek pertama ditahan bersama 13 botol plastik kuning mengandungi dadah heroin seberat 59.92 gram, wang tunai sebanyak RM1,515 dan 150 biji pil kuda.

Katanya, suspek kedua yang ditahan di rumah itu dicekup bersama tiga botol plastik kuning dipercayai dadah heroin seberat 15.02 gram dan 70 biji pil kuda seberat 7.4 gram.

"Dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 12:41 PM