ABD Jalil (tiga kiri) menunjukkan peralatan yang dirampas dipercayai digunakan penagih dadah. FOTO DANIAL NOORDIN
ANTARA 81 individu yang yang ditahan. FOTO Danial Noordin
Oleh Norul Awatif Romli

awatifromli@hmetro.co..my

Pokok Sena: Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan 81 penagih dadah berusia antara 14 hingga 57 tahun termasuk tiga wanita dalam Ops Sarang Khas 2/2015 di Batu 13, Jalan Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Timbalan Komander STING JSJN Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, serbuan selama dua hari bermula pada 4 petang semalam dan dijalankan hasil maklumat awam dan penduduk kampung bagi membanteras sarang penagihan di kawasan itu.

Katanya, siasatan awal polis mendapati enam sarang penagih dikenal pasti dan yakin dengan kerjasama daripada pelbagai agensi serta orang awam mampu menutup semua sarang yang membekalkan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Pokok Sena kampung berdekatan.

"Kebanyakan penagih menjadikan kawasan ini (Pokok Sena) sebagai tempat pusat untuk mendapatkan bekalan dadah selain melepaskan gian. Kesemua sarang berkenaan dipercayai aktif sejak satu hingga dua bulan lalu.

"Sepanjang dua hari operasi dijalankan kita berjaya merampas 9.66 gram dadah dipercayai heroin, syabu (2.27 hram), ganja (1.30 gram), daun ketum (2,000 gram) dan air ketum (2 liter)," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke IPK Kedah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 2:29 PM