ANTARA barisan artis bersama Setiausaha Kehormat MAF Hisham Hussein (dua dari kanan) di pameran ARTAID15 yang berlangsung sehingga 31 Ogos ini.

“Kenapa perlu dibantu golongan itu? Bukankah mereka sendiri yang cari penyakit?” Ia soalan biasa daripada mulut sebilangan individu yang masih dangkal mengenai penyakit HIV dan AIDS.

Tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, ramai yang menuding jari mencungkil kesalahan yang dilakukan golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS.

Tidak dinafikan ada antaranya berpunca daripada amalan gaya hidup yang tidak sepatutnya, tetapi jumlah terkini mendapati makin ramai wanita khususnya suri rumah menghidapnya berikutan tindakan suami di luar rumah.

Jadi, perlukah kesalahan diletakkan ke atas wanita ini? Apa tindakan selanjutnya yang boleh dilakukan wanita ini sejurus didapati diri positif HIV?

Persoalan ini yang mencetus penganjuran aktiviti amal anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Segaris Art Center di Publika, baru-baru ini.

Pelancaran pameran lukisan ARTAID15 yang berlangsung sehingga 31 Ogos ini bertujuan memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan wanita tidak berkemampuan yang hidup dengan HIV di seluruh Malaysia.

Disertai 19 artis kontemporari dari Malaysia dan Indonesia, pameran ini ditunjangi dua artis terkemuka negara - Ahmad Zakii Anwar dan Jalaini Abu Hassan dengan keseluruhan 23 karya seni asli dipaparkan di Segaris.

Hasil jualan karya seni ini kelak akan disalurkan kepada MAF untuk membantu wanita terbabit mendapatkan program rawatan, jagaan dan sokongan yang sepatutnya.

“Saya bangga dengan rakan artis lain yang me­nyokong gerakan seni ini. Lebih 11,000 wanita di Malaysia yang hidupnya mengalami impak besar disebabkan HIV.

“Sebagai pencerita dan pemerhati kepada isu yang memberi kesan pada kami, artis bertanggungjawab berkongsi bakat mereka di kanvas seperti yang dilakukan pada pameran ini.

“Diharapkan usaha kami ini dapat membantu wanita terbabit menjalani kehidupan normal dan bebas daripada stigma serta diskriminasi masyarakat,” kata Ahmad Zakii.

Meskipun rekod jangkitan baru HIV di Malaysia menurun sehingga 50 peratus sejak sedekad lalu, kes baru dicatatkan dalam kalangan wanita dan ia makin mening­kat saban hari.

“Jika dilihat 10 tahun lalu, setiap 10 jangkitan baru HIV yang dilaporkan hanya membabitkan seorang wanita. Kini ratio itu bertukar kepada 4:1.

“Perbezaan jantina dan pelbagai isu ketidaksamaan lain seperti tahap kesihatan dan sosio-ekonomi banyak mempengaruhi wanita untuk berdepan risiko tinggi terhadap HIV.

“Di saat wanita terus menanggung beban disebabkan HIV ini, kita perlu agresif meningkatkan skal pencegahan HIV ini untuk memenuhi keperluan mereka.

“Hasil wang yang dikumpulkan menerusi ARTAID15 ini membolehkan kami untuk mengembangkan lagi capaian kepada lebih ramai wanita yang hidup dengan HIV, khususnya dalam persekitaran yang sukar, miskin dan kurang berkemampuan di seluruh negara.

“Golongan ini akan dibantu dengan program celik kesihatan, pendidikan dan sokongan kehidupan, selain skim bantuan kewangan yang akan meningkatkan akses kepada menyelamatkan lebih banyak nyawa menerusi rawatan HIV serta penjagaan berterusan,” kata Pengerusi MAF, Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman.

Tiga artis Indonesia, Jumaldi Alfi, Putu Sutawijaya dan Yunizar menyertai barisan artis tempatan dalam pameran ini seperti Ahmad Shukri Mohamed, Bayu Utomo Radjikin, Chang Fee Ming, Chong Ai Lei, Chong Siew Ying, Fadilah Karim, Fauzul Yusri, Johari Said, Kow Leong Kiang, Noor ­Mahnun Mohamed, Sabri Idrus, Shia Yih Ying, Umi Baizura serta Yusri Suleiman, selain Ahmad Zakii juga Jailani.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan pameran ini boleh kunjungi Pusat Seni Segaris (Segaris Art Center) di Publika Shopping Gallery, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur atau layari http://yam.org.my/artaid15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 12:30 PM