FAIZAL (kanan) bertembung dengan pertahanan Sapura.
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) terus mempamerkan aksi konsisten pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas mencatat kemenangan meyakinkan 5-2 ke atas Sapura semalam.

Berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, ia adalah kemenangan keenam berturut-turut dilakar anak buah Sarjit Singh sekali gus terus berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Berbaki tiga lagi perlawanan selepas ini, kapten pasukan Mohd Shahrun Nabil Abdullah berharap rakan sepasukannya tidak hilang fokus, sebaliknya terus konsisten untuk meraih tiga mata penuh.

“Kita tidak ada pilihan lain selain perlu raih tiga mata pada baki perlawanan selepas ini sekiranya mahu menjadi juara liga.

“Bermakna, kami tidak boleh mencicirkan mata pun. Kalau itu berlaku (keputusan seri atau kalah), maka kami perlu berjuang sehingga perlawanan terakhir liga,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

THT nyata berada dalam kelas tersendiri semalam apabila di depan seawal minit ke-5 menerusi jaringan pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Fitri Saari.

Tengku Ahmad Tajuddin menjadikan kedudukan 2-0 hasil gol padang minit ke-23 sebelum Ismail Abu meledak gol ketiga tujuh minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.

Bersambung babak kedua, Sapura melakukan kebangkitan apabila memperoleh dua gol masing-masing pada minit ke-41 dan 43 hasil jaringan pemain import, Khasif Ali serta Muhammad Imran.

Bagaimanapun THT terus menutup ruang untuk Sapura menyamakan kedudukan apabila berjaya menambah dua lagi gol menerusi Faizal Saari minit ke-44 dan Shahrun seminit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:48 AM