PASUKAN UiTM bersama hadiah kemenangan.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
sukan@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat sejarah apabila menjadi kontinjen pertama dinobatkan johan keseluruhan Kejohanan Sukan Siswa Siswi Terengganu (SSST) 2015 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kelmarin.

UiTM mengetepikan cabaran 18 universiti lain termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Kejayaan UiTM itu dilakar selepas mengungguli dua daripada empat acara dipertandingkan iaitu bola sepak dan bola jaring.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu Rozi Mamat berkata, penganjuran SSST itu secara tidak langsung mencungkil bakat dan kebolehan penuntut universiti dalam bidang sukan.

“Ia memberi peluang secara tidak langsung kepada kami untuk mengenal pasti atlet berkebolehan dan boleh diketengahkan.

“Mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang boleh digilap melalui latihan intensif seterusnya mewakili negeri di peringkat kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya selepas merasmikan majlis penutupan SSST 2015 itu.

Turut hadir Pengarah Yayasan Terengganu Mamat Sulong dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Menurut Rozi SSST perlu diteruskan dengan memperbanyakkan acara yang dipertandingkan.

“Kami yakin SSST mampu menjadi medan terbaik mengenal pasti bakat terpendam di kalangan penuntut universiti terutamanya sukan teras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:46 AM