SITI bersama penyanyi lain ketika mendendangkan lagu Nenje Ezhu.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Meskipun sudah berada pada tahap diva, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 36, cukup bijak dalam percaturan strategi untuk terus mengukuhkan karier seni yang dibina hampir dua dekad lalu.

Pengalaman menempuh pelbagai onak duri sebagai anak seni, membuatkan Siti mengatur langkah dengan memastikan sasaran peminatnya tidak hanya tertumpu pada kelompok masyarakat Melayu.

Seiring dengan budaya dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, Siti mengambil inisiatif merakam lagu dalam bahasa Mandarin sebagai penghargaan buat peminat keturunan Tionghua.

Pada 2009, Siti dengan yakin menyahut cabaran dan berjaya merakamkan lagu Mandarin, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin secara duet bersama bintang terkenal China, Wang Lee Hom.

Kini, bagi memperkasakan bakat nyanyiannya, Siti sekali lagi mengambil langkah menghargai peminat India dengan merakamkan lagu Tamil, Nenje Ezhu atau dalam bahasa Melayu, Lakukan Terbaik.

Menarik dan istimewanya lagu ini dalam perjalanan karier seni Siti, apabila berpeluang bekerjasama untuk menyanyikan lagu ciptaan penyanyi dan komposer tersohor India, A R Rahman.

Kemunculan Siti pada program Astro Super Star International 2015 membuktikan kehebatan vokalnya apabila mendendang–kan secara langsung lagu Nenje Ezhu bersama beberapa artis lain, Andrea Jeremiah, Viveck Ji, Goldkartz, Fu Ying & Sam serta Gowri Arumugam.

Kata Siti, dia sebenarnya sudah lama mengimpikan peluang menjalin kerjasama dengan A R Rahman, tokoh seni ternama di persada industri hiburan Bollywood .

“Saya kagum dengan pencapaian A R Rahman yang berjaya memartabatkan industri seni India dengan karya muzik terbaik dengan kemenangan Oscar melalui filem Slumdog Millionaire.

“Memang saya meminati karya muzik A R Rahman dan teringin bertemu dengannya. Bagi saya, bakat seni dimilikinya sangat besar dan tokoh tersohor ini harus ditemui.

“Mana tahu, selepas merakamkan lagu Nenje Ezhu saya mungkin dapat peluang bersua muka dengannya pula. Apa pun, harapan saya semoga impian ini menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

Mengenai keberaniannya mencabar diri merakamkan lagu Tamil, Siti akui sentiasa peka dengan sokongan peminatnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama.

“Adalah wajar untuk saya mencabar diri merakamkan lagu selain bahasa Melayu. Bagi saya, di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalan dan paling penting dapat peluang mencuba.

“Sebagai penghibur yang aktif dalam bidang nyanyian hampir 20 tahun, saya memang tahu ada kelompok peminat kaum India yang setia meminati dan memberikan sokongan mereka kepada saya.

“Tanda sokongan itu dapat saya lihat dalam persembahan nyanyian dan konsert dijayakan. Saya pun tak sangka, mereka (peminat India) boleh menerima muzik dan lagu saya yang dirakam dalam bahasa Melayu,” katanya.

Siti bersyukur kerana mendapat sokongan positif daripada peminat India yang tahu dia merakamkan lagu ciptaan A R Rahman.

“Mereka juga teruja dan berminat mahu mendengarnya. Apapun, lagu Nenje Ezhu saya anggap sebagai tanda penghargaan buat peminat India yang setia menyokong. Terima kasih tak terhingga,” katanya.

Siti juga teruja menyanyikan lagu ciptaan A R Rahman itu meskipun Nenje Ezhu adalah lagu yang dinyanyikan secara beramai-ramai. Katanya, ia peluang keemasan yang tidak wajar ditolak.

Kata Siti, program Astro Super Star International 2015 yang menawarkan hadiah lumayan AS$100,000 sangat menarik kerana memberi ruang kepada peserta India tempatan berentap dengan peserta dari negara lain.

“Kalau dilihat dari sudut positif, ia bagus dalam mencari peluang membina kerjaya seni ke peringkat antarabangsa sekali gus di luar Malaysia. Pada saya, ia cabaran besar yang tidak mudah disahut,” katanya.

Program ini sudah 15 tahun dianjurkan tetapi kali ini skala penganjurannya lebih besar dan bertaraf antarabangsa apabila menerima penyertaan peserta dari Malaysia, Singapura, Mauritius, Kanada dan India.

Kumpulan Vellithirai muncul juara dan membawa pulang hadiah RM410,000 manakala naib juara menjadi milik kumpulan Vinmeen (RM287,000) dan ketiga kumpulan Vaanavil (RM164,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM