CUBA paragliding sambil mengawasi arah serta kekuatan angin.
ORKID membantu penulis mengenakan ‘harness’ serta peralatan keselamatan sebelum terbang.
TERAWANG-awang di udara.
MUHAMMAD santai di udara bersama Ikhwan.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Gayatnya ketika terawang-awang di udara. Itu yang dirasa sebaik dibawa ‘terbang’ oleh Kapten Ikhwan Azilah, Pengasas Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM) yang juga Tandem Master bertauliah mengelilingi sekitar Bukit Jugra, Banting, Selangor baru-baru ini.

Mungkin juga gerun apabila mengingati insiden membabitkan sukan itu baru-baru ini. Awalnya kurang yakin dengan bertenang, akhirnya termakan pujukan pengasas bersama PLUM, Orkid Jamilah, setelah tiga tahun mengenali sukan berkenaan.

Lucunya bermodalkan pengalaman penulis sebelum ini pernah mencuba sukan lebih ekstrem ‘bungee jumping’ dalam tugasan sebelum ini, dia yang juga pasangan kepada Kapten Ikhwan menggesa penulis mencuba aktiviti ‘terbang’ di udara kerana menurutnya aktiviti ini jauh lebih santai.

Tambah menarik, bagimeyakinkan untuk mencuba aktiviti itu, beberapa video serta kisah individu serta kumpulan ‘penumpang’ paragliding dipaparkan untuk membuktikan aktiviti ini selamat menerusi beberapa aspek perlu diberi perhatian.

Turut teruja menyertai pengalaman ‘berbuai’ di udara itu ialah jurugambar, Muhammad Sulaiman yang menyifatkan itu peluang sukar dilepaskan.

Menurut Kapten Ikhwan yang berpengalaman luncur udara sejak 2000 lagi, sukan ini selamat untuk disertai selagi beberapa elemen dititikberatkan dalam mengendali aktiviti ini.

Katanya, terdapat tiga elemen utama perlu diambil kira bagi sukan luncur udara. Antaranya cuaca, peralatan serta ‘pilot’ mahupun ‘tandem master’ itu sendiri pada keadaan terbaik ketika terbang.

“Sebarang aktiviti mempunyai risiko dan begitu juga sukan ini. Sukan ini masih relevan sebagai pilihan peng­giat sukan ekstrem udara untuk terbang di lokasi tertentu sambil menikmati pengalaman berada di udara dengan selamat.

“Mereka mesti mematuhi serta memahami kepentingan tiga kriteria yang persatuan tetapkan. Banyak faktor boleh mendorong kepada kemalangan tetapi ia juga boleh berlaku kita melakukan aktiviti harian lain.

“Jadi seharusnya mengurangkan risiko seperti diamalkan persatuan kami terhadap bakal ‘pilot’, ‘pilot’ mahupun ‘tandem master’ bernaung bawah PLUM.

“Jujurnya saya menubuhkan PLUM untuk komuniti sukan ini berkembang, malah berharap komuniti ini bergerak dalam arus betul membantu sukan paragliding dapat bertahan di sini. Kita juga mahu pihak luar mempunyai persepsi positif terhadap sukan ini sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penggiat sukan sedia ada,” katanya.

Kembali kepada kendalian PLUM terhadap setiap penggiat sukan bernaung di bawahnya, Ikhwan berkata dia berusaha mencari prosedur operasi terbaik dengan menjadikan persatuan antarabangsa yang mempunyai reputasi baik sebagai rujukan.

“Tidak dinafikan tiada badan memantau mahupun membuat dasar terhadap sukan ini ketika ini. Tetapi itu bukan tiket PLUM mengambil jalan pintas dengan menggiatkan pengaruh sukan ini dalam kalangan peminat sukan ekstrem udara tempatan.

“Kami lakukan terbaik bagi memastikan tiga kriteria penting ini dikendali dengan baik bersesuaian dengan atmosfera sukan tempatan. Tiga kriteria kami titik beratkan setiap kali sebelum melakukan aktiviti meluncur udara ialah cuaca, perkakasan dan individu terbabit melakukan kegiatan ini.

“Cuaca penting dalam menentukan arah angin bersesuaian dengan keperluan terbang ketika itu. Sebagai contoh angin bertiup terlalu kencang kadangkala tidak selamat buat ‘pilot’ baru.

“Perkakasan berdasarkan keperluan ‘pilot’ dan ‘tandem master’. Setiap pembuatan payung luncur mempunyai kod tertentu yang memberi maklumat berkaitan payung terbabit. Jadi sebelum level ‘novice pilot’ mereka perlu merujuk jurulatih untuk kesesuaian kemampuan dia terbang.

“Kriteria ketiga tentu saja invidu terbabit secara langsung dalam sukan ini. Bagi PLUM kami menggunakan sistem ‘rating’ standard diguna pakai oleh beberapa sekolah sukan luncur udara pernah saya sertai di New Zealand.

“Tiada ruang untuk ‘mengelat’ atau loncat terus daripada ‘pilot’ mungkin mempunyai jumlah terbangan kurang daripada sepatutnya terus menadi ‘tandem master’. Dalam persatuan ini kita mempunyai operasi prosedur untuk setiap tahap serta buku log harus diisi setiap ‘pilot’ mahupun ‘tandem master’ mengenai jumlah terbang. Jadi ini isu integriti dalam persatuan yang saya perjuangkan, atas dasar menjaga kualiti sukan mahupun mengelak risiko kemalangan ketika aktiviti dijalankan,” katanya.

Menyimpan harapan besar, selain mahu orang awam memahami sejauh mana penggiat sepertinya menjalankan aktiviti berkenaan. Dia turut berharap komuniti sukan berkenaan bernaung di bawah satu bumbung yang dapat mengangkat kredibiliti sukan ini pada tahap tertinggi menerusi aliran pelaksanaan sistem sewajarnya diguna pakai penggiatnya.

Program terkini membabitkan aktiviti PLUM, katanya dia akan muncul pada program Pra Karnival Udara di Dataran Pontian Johor pada 30 Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM