SHERRY
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Saiz badan nyata bukan ukuran. Itulah yang diunggapkan dengan rezeki melimpah-ruah diperoleh pelakon dan pengacara kian meningkat, Sherry Alhadad.

Meskipun berbadan besar, Sherry atau Sharifah Mariam Syed Abdul Al Hadad mengakui, ia sedikit pun tidak menghalang dia untuk menyerlahkan bakat seninya. Bagaimanapun, dia tidak nafi kan pada awal pembabitannya dalam bidang lakonan arus perdana beberapa tahun lalu, dia terkejut apabila ada peminat mempersoalkan faktor saiz badan.

“Memang badan saya besar tetapi sewaktu pembabitan dalam teater dulu, ia tidak pernah dipersoalkan termasuk menjadi isu.

“Bagaimanapun, seiring masa berlalu dan bersikap positif dalam menilai setiap pandangan serta kritikan diterima, kini saya tidak kisah mengenainya.

“Biarlah apa yang orang hendak kata mengenai saiz badan saya, yang penting rezeki tidak putus dan saya terus mendapat peluang membina nama,” katanya.

Sherry yang ditemui di lokasi filem Hantu Rumah Sakit Jiwa arahan Michael Ang berkata, dia juga mengharapkan peluang untuk menyerlahkan lagi bakatnya dalam lakonan.

Melakonkan watak jururawat Molly dalam filem itu, Sherry akui sering mendapat peluang melakonkan watak sama berbaur komedi. Katanya, dia juga menyimpan impian semoga suatu hari nanti akan diberi peranan serius.

“Meskipun sering disogok dengan watak serupa iaitu komedi, saya tetap tidak memilih. Bagi saya, ia kepercayaan yang perlu saya buktikan,” katanya.

Sherry yang juga aktif dalam pengacaraan bagaimanapun mengakui, tidak menyangka dia berupaya mengecap populariti meskipun berbadan besar.

“Saya tidak pernah sangka mampu meletakkan diri hingga ke tahap sekarang. Apatah lagi, jika dilihat pada saiz badan saya yang montel.

“Apapun, rezeki Allah siapa yang tahu. Kini, apa yang saya sentiasa ingat adalah nasihat dan kata-kata peransang yang selalu ibu titipkan,” katanya.

Sherry bersyukur kerana diberi kepercayaan menjayakan dua acara prestij sebagai pengacara. Dia akan berganding dengan sahabatnya, Zulin Aziz dan pengacara tersohor, Datuk AC Mizal pada Anugerah Lawak Warna 2015 (ALW2015), kelmarin.

Kemudian, pada 5 September, menjadi hos untuk malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berganding dengan Nabil Ahmad manakala Zulin pula hos acara pembukaan FFM27 bersama Along Champ pada 2 September di Symphony Lake Suite, KLCC.

Majlis mengumumkan mereka yang terbabit dengan acara FFM27 seperti pengacara, penyampai anugerah dan artis membuat persembahan, diadakan di Menara Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Sidang media dianjurkan Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) selaku rakan promosi, berlangsung meriah dihadiri calon Top 5 FFM27 antaranya Bront Palarae, Faizal Hussein, Eja, Sara Ali, Nadiya Nisaa, Lee Sai Peng, Nad Zainal, Syazwan Zulkifli, Adiba Yunus, Azwan Kombos, Aisya Hasnaa, Kodi Rasheed, Anas Ridzuan, Raykarl Iskandar dan Mia Sara Nasuha.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM27, Pengarah Jawatankuasa Induk FFM27, Datuk Fauzi Ayob dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Khalidah Md Darus.

Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Amy Search, Najwa Mahiaddin, Indah Ruhaila, Misha Omar, Hazama, Amir Jahari, Joe Flizzoe dan Sonaone.

Penyampai anugerah pula antara mereka, Datuk Yusof Haslam, Aziz M Osman, Cristina Suzanne, Liyana Jasmay, Datin Sofia Jane, Izzue Islam, Zizie Ezette, Shaheizy Sam dan Syafie Naswip.

Mengenai gandiangannya dengan Zulin, kata Sherry yang tujuh tahun aktif dalam industri hiburan tanah air memaklumkan, mereka menjadi diri sendiri.

“Saya dan Zulin tidak pernah cuba menjadi orang lain kerana mengacara di pentas. Saya pun tidak sangka, gandingan kami serasi.

“Kami juga gemar berbincang. Bahkan, keserasian ini dapat dijalin ketika kami sama-sama memikul tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Skrin dan Melodi di TV3,” katanya.

Sherry yang memiliki ikatan persaudaraan dengan pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah akui di negara ini, dominasi pelawak masih dipegang artis lelaki. Sangat kagum dengan bakat komedi Didie Alias, kata Sherry, tidak bermakna kemunculan artis komedi wanita tidak diterima cuma dalam lawak jenaka, artis wanita perlu peka.

“Bukan mudah membuat penonton ketawa, jadi dalam soal ini pelawak wanita perlu bijak memilih idea komedi yang ingin dipersembahkan.

“Saya sebenarnya selalu memastikan apa saja watak atau persembahan komedi dilakonkan tidak menjatuhkan air muka dan menampakkan diri kelihatan bodoh.

“Jadi, saya menapis setiap tawaran diterima dengan meneliti watak diberikan. Ia penting kerana saya tidak mahu maruah diri diperkotak-katikkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM