Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati_yusof@hmetro.com.my


Melaka: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas dua pertuduhan mendera sepasang anak tirinya berusia tujuh dan empat tahun Jun lalu.

Tertuduh, Rafeah Jamudin, 38, dari Taman Ayer Molek membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu tiri kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menganiayai mangsa dengan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal di seluruh badan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek, kira-kira jam 10 pagi 19 Jun 2014.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu tiri kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun menganiayai mangsa dengan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal di seluruh badan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek, kira-kira jam 10 pagi 24 Jun 2014.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau dendan maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Norina membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 1:47 PM