Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Georgetown: Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang menahan lima lelaki Indonesia serta merampas 430 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM500,000 yang cuba diseludup keluar ke Indonesia daripada sebuah bot di Laut Weld Quay, 4 petang semalam.

Dalam Ops Gelora Khas itu sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Satu melakukan serbuan ke atas sebuah bot yang berlabuh di perairan Laut Weld Quay.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintendan Dimin Awang, berkata berdasarkan siasatan yang dilakukan bot yang didaftarkan dari Indonesia itu sudah dipantau sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan pihaknya menemui 430 kotak minuman keras disimpan diruang kargo dan kapten bot gagal menunjukkan dokumen pemilikan minuman keras berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki warga Indonesia berusia 40 hingga 50-an cuba memberi alasan bahawa bot mereka mengalami kerosakan dan terpaksa berlabuh di Laut Weld Quay untuk pembaikian.

"Hasil siasatan lanjut mendapati bot berkenaan cuba menyeludup keluar minuman keras ke Indonesia selain cuba mengelak cukai.

"Bot berkenaan kemudian ditunda ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu untuk siasatan lanjut dan siasatan dilakukan mengikut Akta Kastam 1967, " katanya ketika sidang media, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 3:52 PM