MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (berdiri tiga dari kanan) bersama pemain Helang Merah meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Oleh Aziman Rosdi dan Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas dua musim menanti akhirnya Kedah kembali menempatkan diri dalam kelompok pasukan elit apabila menjuarai Liga Perdana sekali gus meraih tiket ke Liga Super musim depan.

Kejayaan anak buah Tan Cheng Hoe itu disaksikan 12,000 penyokong Helang Merah di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menumpaskan DRB Hicom 5-1 pada aksi terakhir Liga Perdana malam tadi.

Kedah yang kali terakhir memenangi saingan divisyen dua pada pada 2005/06, bermula garang pada babak pertama dengan meledak tiga gol menerusi dua jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-3 dan 31 serta Chidi Edeh (m-9).

DRB Hicom hanya garang seketika dengan gol sepakan penalti Ivan Babic di minit ke-7.

Pasukan pelawat kemudian sukar digugat apabila menambah dua lagi gol menerusi gerakan solo Edeh pada minit ke-49 dan hatrik Da Silva menerusi percubaan menarik (m-78).

Kemenangan itu membolehkan Kedah mengumpul 48 mata selepas 22 perlawanan sekali gus menjulang trofi Liga Perdana yang dihadiahkan sebaik tamat perlawanan.

Mengiringi Kedah ke Liga Super tahun depan ialah Pulau Pinang yang memintas T-Team hasil kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC manakala SPA Putrajaya dan Kuala Lumpur tersingkir ke Liga FAM.

Sementara itu lebih 100 penyokong Pulau Pinang memasuki padang selepas perlawanan bagi meraikan kejayaan skuad terbabit menewaskan UiTM FC 2-0 sekali gus layak ke Liga Super musim depan.

Pulau Pinang menghasilkan gol pertama menerusi Mohd Aznee Taib pada minit ke-7 sebelum Hilton Mauro Moreira menanduk masuk gol kedua pada minit ke-80.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:10 AM