KOLEKSI perlihat jahitan kun alur berwarna hitam.
KOLEKSI perlihat jahitan kun alur berwarna hitam.
KOLEKSI perlihat jahitan kun alur berwarna hitam.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Gaya unik dan sesuai untuk mereka yang berani bergaya, jenama Bella Luna, memperkenalkan koleksi terbaru jubah dengan potongan gaun dan abaya yang menyerlahkan penampilan wanita berkeyakinan tinggi.

Koleksi yang membawa tema struktur itu memperlihatkan jahitan kun alur berwarna hitam untuk menonjolkan garisan unik, bergaya dan lebih anggun pada jubah berkenaan.

Menurut Pengasas Bella Luna Datin Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, penghasilan koleksi terbaru itu mengambil kira permintaan ramai pelanggan tetapnya yang mahu dia terus menghasilkan jubah yang mengetengahkan tema berunsur geometrik.

Katanya, menggunakan kain kapas poliester yang selesa dan sejuk, koleksi terbaru itu menampilkan coklat sebagai warna asas dan digabungkan dengan warna lain seperti merah jambu, hitam, kuning dan hijau, bagi menghasilkan warna lebih semula jadi.

“Jubah kali ini menampilkan dua potongan gaun dan dua potongan abaya. Semua jubah kami memudahkan ibu menyusu, solat dan berwuduk.

“Lebih menarik, koleksi kali ini turut menampilkan jaket pada jubah yang boleh dibuka untuk memudahkan penyusan bayi atau dibuka terus untuk dipadankan dengan jean, seluar ataupun skirt, mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.

Lebih istimewa, Bella Luna turut dijemput baru-baru ini menyertai pertunjukan fesyen berprestij, Minggu Fesyen KL (KLFW) 2015 di Pavilion Kuala Lumpur pada 12 Ogos lalu bagi memperlihatkan rekaan terbarunya.

Koleksi unik itu dijual pada harga di bawah RM200 setiap helai dan boleh didapati mulai September depan melalui ruang beli-belah dalam talian, Zalora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:01 AM