Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas menyepi tanpa sebarang kata putus atau tindakan susulan berhubung kemelut melanda B Sathianathan (gambar), akhirnya buat pertama kali Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) tampil memanggil pengendali itu untuk berbincang, terutama mengenai soal kontrak dan gaji tertunggaknya.

Gembira dengan perkhabaran positif majikannya itu, Sathianathan, 57, bagaimanapun terpaksa menunda perjumpaan itu selepas dimaklumkan menerusi khidmat pesanan MMS yang dihantar Timbalan Presiden PBATM Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap pada jam 10 pagi semalam yang mahu menemuinya dua jam kemudian.

Menurut Sathianathan, beliau terpaksa menolak untuk berjumpa kerana sedang mengikuti seminar kejurulatihan kelolaan Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) di ibu kota sejak Selasa lalu.

“Saya sebenarnya dihubungi Setiausaha PBATM malam semalam (kelmarin) untuk mengadakan pertemuan, tapi saya minta diberi sedikit masa kerana ingin membawa peguam sekali dalam perjumpaan itu.

“Kemudian mereka (PBATM) menghubungi saya semula pagi tadi (semalam) lebih kurang jam 10 pagi, meminta saya hadir untuk berjumpa Timbalan Presiden pada jam 12 tengahari.

“Kebetulan ketika itu saya berada dalam seminar kejurulatihan dan tidak boleh keluar,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sathianathan berkata, beliau membalas pesanan itu dengan meminta supaya ditunda hari lain bagi membolehkannya melakukan apa-apa persediaan untuk pertemuan itu.

“Mereka bersetuju cuma tarikh sebenar belum tahu,” katanya.

Ditanya, adakah tindakan PBATM memanggilnya disebabkan khuatir kehilangan wang deposit susulan aduan afidavit keduanya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mahu menamatkan kontraknya lebih awal, beliau berkata: “Mungkin juga. Tapi saya mahu perkara ini ditamatkan segera. Saya ingin kembali ke padang sebagai jurulatih dan menikmati suasana perlawanan yang hilang sejak direhatkan April lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 9:34 AM