Jakarta: Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti dituduh oleh Gabungan Rakyat untuk Keadilan Perikanan Indonesia (Kiara) menjual beberapa pulau di negara itu kepada pelabur asing.

Setiausaha Agung Kiara, Abdul Halim berkata, kementerian itu menjalankan satu program di 15 pulau di timur Indonesia yang membenarkan pulau berkenaan diurus dan dikuasai oleh warga asing.

“Terdapat 15 pulau dalam program itu yang semuanya mungkin dijual kepada pelabur asing pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, proses menjual pulau itu sudah bermula di Barat Nusa Tenggara yang menyebabkan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

“Seramai 115 keluarga terpaksa berpindah kerana tanah di pulau itu bakal dibangunkan oleh pelabur Singapura, PT Blue Ocean Resort.

“Syarikat ini akan membina hotel mewah untuk kegunaan pelancong,” katanya.

Menurutnya, dia kesal kerana Susi tidak mempertimbangkan kesan dasar itu dan membenarkan program itu diteruskan tanpa meneliti keburukannya.

“Susi masih mempertahankan program itu yang didakwa sebagai satu bentuk pembangunan di pulau berkenaan,” tegasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 10:08 AM