Susunan Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Musim panas dan kemarau adalah masa sesuai untuk bercuti terutama menggunakan kereta. Ini kerana anda dapat membawa sebanyak mungkin beg, mendapatkan cuaca yang hangat dan menikmati matahari terbenam pada waktu petang.

Namun, ketika menikmati percutian ketika panas atau kemarau, ada kalanya membuatkan lupa untuk tetap aktif dan makan secara sihat.

Jadi, untuk tetap sihat dalam perjalanan di tengah terik matahari, berikut 10 tip daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas SweatGuru & Fit Approach, Jamie Walker menerusi bukunya, The Huffington Post Travel.

- Perancangan lebih awal

Supaya terhindar daripada tekanan, cuba buat perancangan awal. Rancang perjalanan, atur GPS (Global Positioning system), tempahan bilik hotel, duit minyak serta tol dan lain yang diperlukan sebelum masuk ke dalam kereta.

Pastikan mengemas barang yang anda perlukan seperti pakaian, makanan, ubat-ubatan, barang elektronik dan alat untuk mengecas bateri.

- Makan di restoran yang sihat

Sebelum ke destinasi, cari restoran atau tempat yang menyediakan pilihan makanan sihat sepanjang jalan dilalui.

Namun, tetap fleksibel kemungkinan jika rancangan berubah. Pilihlah ulasan makanan daripada aplikasi yang dipercayai supaya anda dapat menemukan tempat berhenti di sepanjang jalan yang dilalui.

- Bawa makanan sihat

Dalam perjalanan, anda mungkin sukar untuk berhenti selalu bagi menjamu selera di mana-mana restoran. Oleh itu, bawa makanan ringan yang tahan lama seperti coklat, buah-buahan kering, roti atau buah-buahan segar seperti epal dan pisang sebagai bekalan.

Selain memudahkan, ia juga adalah makanan sihat buat anda.

- Air

Pastikan tubuh anda mendapat air secukupnya. Tidak hanya mencegah dehidrasi, tapi akan lebih fokus.

Dengan itu, perjalanan anda akan lebih selesa dan menyenangkan.

- Lindungi kulit dan mata

Ketika memandu hampir setiap hari dan bercuti di tengah sinar matahari, pelindung suria atau krim UV akan sangat membantu melindungi kulit.

Gunakan juga kaca mata untuk melindungi mata anda. Anda juga akan nampak lebih bergaya dengannya.

- Bawa kelengkapan bersenam

Jika anda sering melakukan senaman seperti yoga, joging atau sukan lain, carilah masa yang sesuai untuk melakukannya walaupun sedang bercuti.

Bawalah kelengkapan bersenam seperti pakaian latihan, kasut dan alatan sukan lain yang mudah dikemas.

-Cukupkan tidur

Ketika berseronok atau bergembira bersama keluarga atau rakan, anda pastinya akan tidur lambat. Hal ini akan merugikan kesihatan anda.

Bukan hanya kelelahan kerana memandu. Tidurlah lebih awal untuk mendapatkan kembali kesegaran tubuh anda.

- Nikmati perjalanan

Perkara paling penting ketika bercuti menaiki kereta ialah menikmati waktu indah bersama keluarga, rakan dan bersenang-senang.

Dengan itu, kesenangan dan kebahagiaan akan penuh bermakna selain tidak boleh terbeli dengan wang ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:42 AM