SATHIANATHAN meninggalkan pekarangan Wisma FAM selepas menghantar afidavit, kelmarin.
Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas (B) Sathianathan kerana saya juga pernah melalui pengalaman pahit seperti itu apabila tidak dibayar gaji dua, tiga bulan. Sepatutnya dalam dunia bola sepak profesional, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.”

Itu luahan simpati bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh yang merasakan tindakan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) seperti sengaja membuatkan Sathianathan terkapai-kapai umpama ‘digantung tak bertali’, termasuk keengganan mereka melunaskan gaji pengendali The Gladiators itu.

Katanya, ketika liga bola sepak tempatan bakal memasuki era profesional sepenuhnya menerusi penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim depan, isu ini tidak seharusnya timbul kerana setiap pentadbir bola sepak negeri mahupun kelab wajib memahami istilah kontrak dalam erti kata sebenar.

“Apabila berlakunya isu ini, seolah-olah menunjukkan kita masih belum bersedia melangkah ke dunia penswastaan tahun depan.

“Mereka (PBATM) seperti tidak memahami maksud kontrak dalam konteks bola sepak sebab itu mereka nampak macam tidak ada minat untuk menyelesaikan isu ini ataupun cuba mengikut perjanjian yang sudah ditandatangani sebelum ini.

“Sekarang bukan zaman amatur seperti ketika saya bermain dulu, tapi sudah lama melangkah ke profesional. Adatlah dalam bola sepak menang atau kalah, itu biasa, tapi selagi kontrak itu ‘hidup’, gaji dan kebajikan pemain atau pegawai pasukan perlu berjalan macam biasa.

“Kalau sudah tidak berminat, tamatkan kontrak dan selesaikan bayaran pampasan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mengemukakan afidavit terbaru kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan mendakwa PBATM sengaja tidak mengendahkan keputusan Jawatankuasa Status Pemain yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan pada 27 Julai lalu.

Dalam mesyuarat itu, jawatankuasa status memutuskan notis yang diberikan PBATM kepada Sathianathan tidak sah kerana melanggar prosedur ditetapkan.

Bagi menyelesaikan kemelut ini, Takiyuddin menjelaskan kemungkinan besar wang deposit PBATM akan ‘hangus’ selain penyertaan = dalam Piala Malaysia musim ini, bakal digantung sekiranya didapati terus gagal mematuhi keputusan FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:23 AM