PENYERANG import Sarawak, Ivan Fatic cuba mengelecek dua pemain LionsXII. FOTO Bernama
PEMAIN Lions XII, Muhammad Khairul Amri (kiri) diasak pemain Sarawak, Rames Lai (kanan). FOTO Mas Adib Saie
Oleh Abd Rahman Adam
abdrahman@hmetro.com.my


Petra Jaya: Sarawak akhirnya menamatkan kemarau kemenangan apabila bergaya menundukkan Lions XII 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Ternyata kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan skuad Bujang Senang bagi meraih tiga mata penting.

Kemenangan yang dicari pengendali baharu Sarawak, Fuad Grbesic itu dapat mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super sekaligus terlepas dari slot penyingkiran.

Awal babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mengamalkan corak berhati-hati dan seimbang.

Bagaimanapun pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi tandukan pertahanan import, Patrick Nyema pada minit ke-22 hasil sepakan sudut yang diambil Ivan Fatic.

Selang tujuh minit kemudian, pelawat cuba menyamakan jaringan menerusi Khairul Nizam namun digagalkan pertahanan Sarawak.

Sarawak terus menggandakan serangan terhadap pintu gol Lions XII untuk mendapatkan kedudukan selesa.

Kelekaan pertahanan skuad kendalian Fandi Ahmad mengundang padah apabila sekali lagi dihukum dengan jaringan kedua Sarawak pada minit ke-38 menerusi penyerang import, Billy Mehmet selepas mendapat hantaran hasil sepakan penjuru Ivan Fatic.

Lions XII kembali mengatur gerakan apabila mula mengasak kubu pertahanan Sarawak.

Kekebalan benteng Sarawak akhirnya dipecahkan selepas Khairul Amri mudah menyempurkan sepakan penalti pada minit ke-74 selepas dijatuhkan dalam kotak penalti.

Sarawak terus membalas serangan Lions XII, bagaimanapun Ryan Griffiths gagal menyempurnakan peluang terhidang di hadapan pintu gol meskipun penjaga gol, Izwan Mahmud sudah tertewas.

Skuad dari Singapura cuba merapatkan jurang gol namun gawang Sarawak terus bertahan meskipun beraksi dengan sepuluh orang pemain selepas Ivan Fatic dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan dan Sarawak akan berkunjung ke Kota Bharu bagi mengharungi saingan terakhir bertemu Kelantan sebelum menamatkan Liga Super musim 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:32 PM