ABDUL Aziz (empat kiri) dan Komender Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Asisten Komisioner, Paul Khu Khong Ching (empat kanan) menunjukan rampasan rokok. FOTO Mohd Azren Jamaludin


Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan dua lelaki serta merampas 36,800 paket rokok dianggarkan berjumlah RM370,869 dalam dua operasi berasingan di perairan Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan sekitar Pontian, malam tadi hingga awal pagi tadi.

Komander PPM Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun, di perairan Tanjung Langsat di sini, kira-kira 10 malam tadi.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 9,000 paket rokok dalam bungkusan hitam yang diletakkan dalam sebuah bot yang diikat pada boya, sebelum menahan dua lelaki yang turut berada di bot berkenaan.

"Manakala, dalam tangkapan kedua, polis menemui 27,800 paket rokok kretek dan putih dalam bot yang dikesan di pantai Pontian Kecil," katanya ketika sidang medua di Markas PPM Wilayah Dua Johor, Tampoi di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, keseluruhan nilai rampasan yang dibuat dalam dua kes terbabit, termasuk dua buah bot dan dua enjin sangkut, mencecah RM495,869.68 yang mana ia adalah rampasan terbesar PPM setakat ini pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 5:11 PM