Mayat mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan polis. FOTO Faris Zainuldin
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Seorang pemuda yang mencari cendawan kukur ditemui meninggal dunia di kebun getah di Kampung Kayu Rendang, Melor, di sini, 11.30 pagi tadi.

Mangsa, Shahrul Abdul Kadir, 27, ditemui adiknya Mohd Syazwan, 23, dalam keadaan terlentang di celah-celah kayu.

Bapa saudara mangsa, Abdul Kahar Ismail, 52, berkata, dia mengetahui kejadian pada jam 11 pagi selepas dimaklumkan penduduk kampung.

"Saya segera ke lokasi kejadian dan melihat anak saudara dalam keadaan terlentang.

"Dia keluar dari rumahnya dengan menaiki motosikal EX5 pada jam 10.30 pagi semalam, namun tidak pulang ke rumah menyebabkan ahli keluarga bimbang dan mencarinya sebelum menemui mayatnya di dalam kebun getah.

"Keadaan mulut dan hidung mangsa keluar darah, namun tiada kesan kecederaan lain, "katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Setapa Yusoff mengesahkan menerima laporan penemuan mayat mangsa dan kes diklasifikaiskan mati mengejut serta tiada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 4:34 PM