FOTO ihsan pembaca
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

 

Arau: Sembilan penuntut Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) cedera termasuk dua parah dalam satu kejadian kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah lori di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.30 pagi, mangsa menaiki kereta jenis Perodua Axia dan Perodua Viva dalam perjalanan menuju ke kampus mereka di Pauh Putra.

Menurut saksi kejadian, ketika mereka menghampiri satu persimpangan berhampiran kawasan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Pauh, sebuah lori secara tiba-tiba membelok dan memasuki lorong memecut di lebuh raya itu.

Tindakan itu menyebabkan Perodua Axia yang dipandu oleh Shafiq Farook, 20, pelajar tahun tiga Diploma Sistem Elektrik universiti gagal mengawal kenderaan lalu merempuh belakang lori itu.

Manakala kereta Perodua Viva yang mengikuti belakang kereta itu juga melanggar kereta Perodua Axia itu menyebabkan kenderaan itu terbakar.

Orang ramai dan pengguna lebuhraya berkenaan bertindak mengeluarkan mangsa sebelum api marak dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ku Yaakob Ku Hamad ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 2:18 PM