ANTARA barisan penghibur yang hadir pada sidang media pelancaran, baru-baru ini.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Khas buat peminat muzik hip hop, soul dan R&B, kehadiran festival muzik Soulfest Asia 2015 pada 17 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mines (MICC), Seri Kembangan, Selangor pastinya dinanti-nanti.

Berbeza festival muzik lain, Soulfest Asia mengetengahkan penyanyi kontemporari yang memperjuangkan muzik soul, R&B dan hip hop.

Selepas diadakan di Australia dan New Zealand tahun lalu, ia pertama kali diadakan di Malaysia tahun ini.

Ketika berlangsung di Sydney, Melbourne, Brisbane dan Auckland tahun lalu, ia menampilkan penyanyi hebat seperti Mos Def, Aloe Blacc, Common dan D’Angelo.

Di Malaysia, antara artis ternama yang sudah mengesahkan kehadiran ialah Mary J Blige, Jhene Aiko, Talib Kweli dan De La Soul.

Tidak ketinggalan kumpulan hip hop Amerika-Thailand iaitu Thaitanium, DJ Irwan and Mc Phatt (Belanda), Raisa (Indonesia) dan Shigga Shay (Singapura).

Konsert turut dimeriahkan dengan penampilan artis tempatan seperti Joe Flizzow, Altimet, SonaOne, Najwa Mahiaddin, De Fam, Raising the Bar dan KC and Friends.

Ini termasuk barisan DJ hebat seperti DJ Ashy Ash, DJ Biggie, Luqe, Nesh, Naj Frusciante dan Axel Groove vs Xes Xes Loveseat.

Wakli penganjur dari Soulnation Asia, Adib Khalid berkata, penganjuran itu disifatkan tepat pada masanya memandangkan muzik sedemikian semakin mendapat pengiktirafan di negara ini.

“Ramai tahu muzik soul, R&B dan hip hop adalah muzik yang memiliki pengaruh besar di seluruh dunia. Kami mahu bawakan sesuatu pengalaman yang lebih hebat buat penggemar muzik sebegitu di sini.

“Lagipun, di Malaysia muzik seperti hip hop semakin diiktiraf sebagaimana SonaOne menang di Anugerah Industri Muzik (AIM). Kami rasa inilah masa yang tepat bagi menganjurkan festival muzik demikian,” katanya dalam sidang media pelancaran festival itu, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai penganjuran, Adib berkata, acara yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu bakal dilanjutkan pada masa depan.

“Soulfest akan dijadikan sebagai acara tahunan di mana selain artis antarabangsa, artis serantau juga bakal ditampilkan.

“Kami juga berharap mampu mengangkat lagi nama artis-artis kita di sekitar Asia Tenggara selain mengharapkan kehadiran penonton dari negara serantau,” katanya.

Tiket berharga RM198 sudah mula dijual sejak kelmarin dan maklumat lanjut mengenai festival ini sila layari laman web www.airasiaredtix.com dan www.eventopia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:46 AM