Ramallah: Seorang pemimpin pembangkang Israel semalam menggesa rejim Zionis bekerjasama dengan pihak berkuasa Palestin bagi mengelakkan kebangkitan atau intifada Palestin untuk kali ketiga.

Isaac Herzog membuat gesaan itu selepas satu pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di ibu pejabat pemimpin Palestin itu di Tebing Barat.

Pertemuan yang jarang berlaku itu berlangsung ketika keganasan memuncak di rantau berkenaan.

Ratusan penduduk semalam menghadiri majlis pengebumian seorang lelaki Palestin di Tebing Barat yang mati ditembak tentera Israel selepas mangsa menikam askar rejim Zionis.

Keganasan yang semakin memuncak dibimbangi boleh mencetuskan lagi satu intifada penduduk Palestin.

Herzog berkata, perkara yang paling penting yang perlu dilakukan adalah bekerjasama bagi mengelak keganasan tercetus lagi.

Beliau juga menggesa rundingan damai tajaan Amerika Syarikat disambung semula.

Rundingan damai berkenaan tertangguh lebih setahun lalu dan tiada tanda ia akan disambung. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:00 AM