Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menjangkakan 2,000 atlet bakal menyertai Program Kecemerlangan dan Kecergasan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) 2015 yang akan diadakan di Stadium Mini Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, 21 Ogos ini.

Pengerusi Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya dipertanggungjawabkan menjadi tuan rumah penganjuran sukan dwi tahunan kali keenam itu.

Katanya, temasya lima hari itu bakal disertai 13 agensi di bawah kementerian berkenaan membabitkan 16 jenis sukan, antaranya bola sepak, sepak takraw, bowling, bola jaring dan juga tenis termasuk acara istimewa iaitu lari dalam guni.

“Sebanyak 16 acara sukan bakal dipertandingkan dengan penyertaan 2,000 atlet seluruh negara.

“Kita bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi hos sukan dwi tahunan tahun ini dan insya-Allah akan melakukan persiapan terbaik bagi memastikan perjalanan program berlangsung sempurna bagi menjamin keselesaan peserta termasuk pengunjung yang hadir,” katanya.

Acara pembukaan temasya sukan itu bakal dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman manakala majlis penutup akan disempurnakan Menteri Datuk Shabery Cheek.

Alwi berkata, beliau turut berharap penganjuran sukan itu dapat mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara agensi-agensi yang terbabit.

Selain itu, katanya, semua peserta juga dinasihatkan menjaga disiplin diri di sepanjang temasya terbabit bagi menjaga nama baik agensi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:56 AM