Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) bukan saja bakal kehilangan wang deposit, malah turut berdepan hukuman dilarang menyertai saingan Piala Malaysia musim ini jika terus gagal mematuhi keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan jurulatih mereka, B Sathianathan.

Hukuman menanti PBATM itu berpunca daripada keengganan pihak pengurusan skuad The Gladiators mematuhi keputusan Jawatankuasa Status Pemain FAM yang memutuskan Sathianathan berhak membimbing semula pasukan itu seperti mana tertera dalam kontraknya selain harus melunaskan gaji tertunggak pengendali berkenaan.

Namun, sikap ‘acuh tak acuh’ PBATM dalam menyelesaikan kemelut itu, memaksa bekas pengendali skuad kebangsaan berkenaan memfailkan afidavit kedua dengan kali ini mahu menamatkan ikatan kontrak lebih awal selepas bosan melihat kerenah majikannya.

“Saya belum lagi berkesempatan meneliti aduan kali kedua Sathianathan (yang diserahkan di Wisma FAM semalam). Tapi, apa yang saya difahamkan isu ini agak berat terutama kegagalan PBATM melaksanakan keputusan yang sudah dicapai Jawatankuasa Status Pemain FAM pada 27 Julai lalu.

“Mengikut peraturan dan prosedur sedia ada, jika PBATM masih berdegil, FAM akan memotong deposit mereka untuk dibayar kepada Sathianathan.

“Sekiranya ikatan kontrak itu dibatalkan, Sathianathan boleh mendapat bayaran pampasan menerusi baki kontraknya.

“Contohnya jika gaji beliau RM40,000 sebulan, ia akan didarab dengan baki bulan yang masih tinggal.

“Bukan itu saja, ATM berkemungkinan besar tidak boleh menyertai sebarang liga tempatan selepas ini, seperti Piala Malaysia, misalnya.

“Namun, perkara ini belum muktamad kerana perlu dibincangkan dulu dalam mesyuarat jawatankuasa status akan datang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Katanya, PBATM seharusnya tidak membiarkan isu berkenaan berpanjangan terutama selepas FAM mendapati tindakan merehatkan pengendali itu sememangnya tidak sah kerana melanggar prosedur ditetapkan.

Malah, tempoh 14 hari yang diberikan kepada PBATM untuk mengemukakan rayuan sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan itu, sebaliknya dibiarkan begitu saja dengan berdiam diri tanpa sebarang berita.

“Saluran untuk mengemukakan rayuan sudah ada, tapi PBATM memilih mendiamkan diri, jadi kita akan ambil tindakan ke atas mereka.

“Nasihat saya, sebelum menandatangani mana-mana pemain atau jurulatih, mereka perlu memahami isi kandungan kontrak.

“Apabila tandatangan sudah diturunkan, persatuan perlu mengikut segala syarat yang ada supaya masalah seperti ini tidak timbul di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Sathianathan yang ditemui ketika menyerahkan afidavit di Wisma FAM semalam ingin menamatkan segera kemelut melanda dirinya kerana beranggapan perkara itu memberi kesan terhadap periuk nasinya.

“Ini periuk nasi saya, kalau gaji tidak dibayar berbulan-bulan, apa kami nak makan.

“Saya hanya menuntut hak. Harap-harap isu ini dapat diselesaikan segera supaya saya boleh kembali melatih pasukan lain selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:53 AM