DARI kiri, Arief, Shahrul Azlan, Herman dan Ng pada majlis menandatangani perjanjian antara Natural Green Standard Sdn Bhd dengan PT Bumbu Desa Indonesia, semalam.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: PT Bumbu Desa Indonesia, rangkaian restoran terkemuka Indonesia menyasarkan untuk membuka kira-kira 30 hingga 40 cawangan di seluruh dunia membabitkan beberapa negara antaranya Eropah Barat, Kanada, Korea dan Jepun dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arief Wirawangsadita berkata, sehingga kini, Bumbu Desa yang menawarkan masakan Sunda dan Padang mempunyai 46 unit restoran di Indonesia serta dua di Malaysia.

“Kami optimis pembukaan restoran berasaskan makanan rakyat Indonesia akan mendapat sambutan di Malaysia, malah negara ini hab terbaik untuk mempromosi industri makanan kami kerana kita negara serumpun di mana sajian harian yang dimakan tidak jauh berbeza,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara Natural Green Standard Sdn Bhd dengan PT Bumbu Desa Indonesia, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bumbu Desa Malaysia, Alvin Ng berkata, sebagai pemegang induk francais, pihaknya merancang membuka dua lagi restoran di Shah Alam menjelang akhir tahun ini.

“Kos pelaburan bergantung kepada konsep reka bentuk dalaman yang ditampilkan. Buat masa ini, kami hanya mempunyai dua konsep berbeza iaitu Hidangan Pantas serta Makan Menyeronokkan,” katanya.

Alvin berkata, pihaknya memperuntukkan pelaburan bernilai RM500,000 hingga RM800,000 untuk restoran berkonsepkan Hidangan Pantas manakala RM800,000 hingga RM1 juta bagi tema Makan Menyeronokkan.

Hadir sama, Duta Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno dan Ketua Bahagian Operasi Perniagaan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Shahrul Azlan Mohd Zulkifli.

Sementara itu, Shahrul berkata, PNS menawarkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM500,000 kepada usahawan Bumiputera yang berminat membuka restoran terbabit dalam usaha menggalakkan masyarakat membina empayar perniagaan, sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 6:33 AM