TELUR penyu yang dirampas oleh anggota PPM Sandakan di pesisir pantai Kampung Forest, Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Oleh: Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my


Sandakan: Cubaan menyeludup masuk 2,600 telur penyu dari negara jiran dipercayai untuk dijual di daerah ini, gagal selepas dikesan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan di kawasan pesisir pantai Kampung Forest, dekat sini, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, ketika kejadian anggota PPM sedang menjalankan Ops Pensura di kawasan terbabit sebelum terlihat dua individu sedang memunggah barang dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 4 pagi.

"Ketika dihampiri, dua individu terbabit terus melarikan diri dengan menaiki bot pam dan gagal dikesan.

"Pemeriksaan lanjut di pantai terbabit menemui enam bungkus plastik hijau dan dua guni yang berisi telur penyu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jumlah rampasan telur penyu ini bernilai RM3,120 yang dipercayai dibawa dari Kepulauan Filipina untuk dipasarkan di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 4:05 PM