GAMBAR yang dirakam agensi mencari dan menyelamat Indonesia (BASARNAS) menunjukkan kawasan yang dipercayai tempat pesawat milik Trigana Air terhempas berhampiran Oksibil, Papua.
AFP

Jayapura, Indonesia: Pasukan penyelamat semalam berusaha untuk menjejaki lokasi pesawat penerbangan Trigana Air terhempas di kawasan pergunungan di wilayah Papua.

Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 3 petang (2 petang waktu Malaysia) kelmarin ketika dalam penerbangan dari Jayapura menuju ke Oksibil, penempatan terpencil yang hanya boleh dijejaki dengan pesawat.

Ia terputus hubungan 10 minit sebelum sampai ke lokasi tidak lama selepas memohon kebenaran untuk mendarat.

Pesawat turboprop ATR 42-300 yang membawa 49 penumpang dan lima anak kapal dipercayai terhempas akibat cuaca buruk.

Sebuah pesawat mencari semalam melihat serpihan pesawat yang masih berasap di kawasan pergunungan berhampiran Oksibil.

Beberapa penduduk kampung juga mendakwa melihat pesawat berkenaan terhempas di gunung dan melihat rangka pesawat kelmarin.

Pasukan penyelamat termasuk askar dan polis semalam menuju ke kawasan berkenaan dengan berjalan kaki serta terpaksa meredah hutan tebal untuk sampai ke lokasi terpencil yang terletak pada ketinggian 2,600 meter.

“Kawasan itu curam dan diliputi hutan tebal. Tiada jalan atau laluan ke lokasi berkenaan,” kata jurucakap tentera, Teguh Pudji Rahardjo.

Sehingga kini tiada kenyataan mengenai keadaan penumpang dan anak kapal.

Kesukaran operasi berkenaan menyebabkan waris mangsa kecewa kerana kurangnya maklumat mengenai nasib ahli keluarga mereka.

“Kami mahu pengesahan rasmi!,” jerit seorang waris mangsa sambil menterbalikkan meja di pusat krisis yang ditubuhkan Trigana Air di Lapangan Terbang Jayapura, semalam.

Kira-kira 100 ahli keluarga penumpang dan anak kapal berkumpul di lapangan terbang berkenaan dan menunggu pengumuman pihak berkuasa.

Seorang waris mangsa yang dikenali sebagai Rifan Wea berkata, dia dan ahli keluarganya sudah berkumpul selama beberapa jam.

“Saya hendak tahu nasib abang saya yang menaiki pesawat itu.

“Saya mahu tahu dia masih hidup atau meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:07 AM