Shah Alam: Salah faham adalah punca kejadian dua remaja ditahan seorang bekas pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’ kerana didakwa menceroboh sebuah rumah di Seksyen 8 di sini, yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian 5.20 petang pada Jumaat lalu, Datuk berkenaan menahan dua remaja itu selepas menerima panggilan telefon daripada tuan rumah yang melihat kelibat dua remaja tidak dikenali memasuki kawasan rumahnya melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang disambungkan ke telefon bimbit.

“Selepas melihat dua remaja berkenaan memasuki rumahnya, pemilik rumah yang ketika itu berada di luar kawasan menghubungi bekas pegawai kanan polis berusia 64 tahun itu yang juga jirannya dan memberitahu terdapat dua individu menceroboh rumahnya,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini, hari ini. Shafien berkata, kedua-dua remaja itu, sebenarnya rakan kepada anak jiran Datuk itu yang dijemput ke rumah itu untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

“Bagaimanapun, pada masa itu anak tuan rumah berkenaan tiada di rumah kerana menghadiri kelas tuisyen,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Datuk itu melepaskan tembakan amaran ketika menahan dua remaja terbabit, Shafien berkata, polis tidak menjumpai sebarang kelongsong peluru di kawasan kejadian.

Mengenai kecederaan dialami oleh remaja itu, beliau berkata pihaknya sedang menunggu laporan pengesahan daripada doktor.

“Bagaimanapun, polis merampas pistol berkenaan bagi tujuan siasatan,” katanya.

Shafien berkata, 11 saksi kejadian diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (menceroboh), Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Beliau berkata beberapa rumah di kawasan perumahan itu sebelum ini, telah dipecah masuk membuatkan sebarang kehadiran individu yang tidak dikenali diragui. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 9:48 PM