KEMUDAHAN prasarana perlu ditambah baik untuk mengendalikan acara terbesar dunia itu.
Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Klang: Walaupun masih di peringkat kajian, bekas pemain kebangsaan, Hassan Sani menasihatkan skuad kebangsaan harus dipersiapkan dengan segera dan bukan menghantar sebarang pasukan menjelang Piala Dunia 2034.

Menurutnya, sekurang-kurangnya ranking Malaysia harus diperbaiki dan jika negara Asia Tenggara (Asean) serius untuk membuat bidaan bagi kejohanan itu, mereka masih lagi mempunyai masa yang cukup mempersiapkan pasukan terbaik.

“Fikirkan paling terbaik untuk skuad kebangsaan walaupun kebiasaannya tuan rumah akan layak secara automatik. Kita masih lagi ada masa mungkin dalam tempoh 10 tahun,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya, persediaan untuk menjadi tuan rumah bukan mudah, selain mempersiapkan pasukan kebangsaan terbaik ia juga memerlukan perbelanjaan besar kerana Piala Dunia kejohanan terbesar di dunia.

“Bagaimanapun, ia sangat bagus untuk perkembangan rantau Asean walaupun tempohnya masih panjang,” kata legenda Harimau Malaya itu.

Ditanya mengenai apa langkah yang harus dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hassan berkata, ia terpulang kepada badan induk itu namun jika diikutkan kalau sebut mengenai Piala Dunia sudah tentu membabitkan prasarana yang canggih.

“Negara lain kalau menjadi tuan rumah kita dapat lihat mereka membina atau memperbaiki semula stadium menjadi lebih canggih, namun bukan saya maksudkan stadium yang ada sekarang tidak canggih tapi mungkin kita perlu lebih daripada apa yang ada sekarang.

“Hanya satu atau dua stadium saja yang canggih tapi sebagai tuan rumah sudah tentu kita memerlukan lebih dari jumlah itu,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, secara rasmi mengumumkan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Sukan ASEAN Kelima (SOMS-5) meluluskan untuk memulakan kajian menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 sebelum membuat bidaan rasmi menjelang 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:03 AM