WALSH (dua dari kiri) ketika mesyuarat lembaga eksekutif MHC di Majlis Olimpik Malaysia, semalam.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas menunggu hampir dua bulan, bekas jurulatih hoki negara, Terry Walsh diumum secara rasmi pengarah teknikal hoki negara Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), semalam.

Walsh yang pernah mengendalikan skuad negara pada 1990-1994 itu bakal menggalas tugas pertama dalam urusan melantik ketua jurulatih negara dan siapakah yang akan memikul tanggungjawab itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu selepas perbincangan dilakukan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Walsh akan dipertanggungjawabkan menggalas tugas penting mengembalikan martabat hoki negara dengan kontrak yang ditawarkan dua tahun dan akan disambung dua tahun lagi sekiranya MHC berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana membantu MHC mendapatkan khidmat Walsh yang saya rasa dapat membantu skuad hoki negara mencipta kegemilangan selepas ini.

“Saya harap Walsh akan memainkan peranannya semaksimum boleh untuk membantu skuad negara melayakkan diri ke Olimpik 2020 selepas kita gagal menempah tiket ke Rio kerana bagi saya hoki memiliki potensi tinggi,” katanya semalam.

Walsh sebelum ini mengemudi India layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro selepas membimbing pasukan itu menjuarai Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan selepas 16 tahun. Juara Sukan Asia 2014 itu memperoleh tiket automatik ke Rio, selaku juara benua.

Pengendali berusia 61 tahun itu turut membimbing skuad ‘Kookaburras’ meraih pingat emas Sukan Komanwel 1998, pemenang Trofi Juara-Juara 1999 dan pingat perak Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:03 AM