TIGA warna menarik Yamaha Y15ZR.

Bagi motosikal moped, model Yamaha 125Z dan LC135 boleh dikatakan jentera dua roda paling ‘panas’ di pasaran buat masa ini.

Populariti kedua-dua motosikal itu sangat baik sehingga menjadi buah mulut di setiap bibir masyarakat di negara ini.

Sejak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) ditubuhkan pada 1978 di Malaysia, model yang dikeluarkannya memenuhi jiwa penunggang tempatan sehingga meraih­kan sehingga 37 peratus penguasaan pasaran motosikal di negara ini pada tahun lalu.

Namun, khabar angin yang mengatakan HLYM akan membawa motosikal moped baru pada tahun ini bakal menjadi realiti apabila syarikat berkenaan memperkenalkan Yamaha Y15ZR, pada minggu lalu.

Motosikal itu sebenarnya sudah dilancarkan di beberapa negara Asia Tenggara lain dan dikenali Yamaha Exciter 150 di Vietnam selepas diperkenalkan secara global pada penghujung tahun lalu.

Jentera yang boleh digelar ‘Raja Jalanan’ itu disasarkan untuk memenuhi kriteria penunggang berumur sehing­ga 30 tahun dengan penampilan agresif.

Moped berkenaan dijanakan enjin 150cc SOHC penyejuk cecair suntikan petrol mampu memberi kuasa 15.4 PS, berbanding 12.5 PS yang menggunakan rang­kaian kuasa bersesaran 135 cc, selain torknya lebih tinggi iaitu 13.8 Nm pada 7,000 rpm.

Difahamkan enjin Y15ZR menggunakan enjin 150cc Yamaha yang ditala semula bagi memberi keselesaan penunggang serta menawarkan lebih bertenaga.

Kuasa pecutan mampu memuaskan hati penunggang dan ditambah pula dengan kerangka ringan bagi memberi pengendalian lebih cemerlang pada semua keadaan jalan raya.

Gaya penampilannya yang ditonjolkan sangat terbaik berbanding jentera lain selepas menerapkan rekaan motosikal berkuasa tinggi iaitu Yamaha YZFR1.

Garisan tajam pada bahagian sisi tampak lebih sasa serta padanan lampu belakang LED memberi pencahayaan yang terang.

Rekaan dapra hadapan turut memberi impak sebagai sebuah jentera superbike yang digabungkan dengan lampu isyarat rekaan lebih moden. Meter kelajuan de­ngan pelbagai fungsi pula memaparkan paparan LCD yang menarik.

Malah, bahagian ekzos Y15ZR juga didatangkan dengan tiga peringkat peredam yang bakal menghasilkan bunyi sporty.

Bagi memaksimumkan cengkaman permukaan jalan, jentera itu menggunakan rim bersaiz 3.50 inci dengan tayar berukuran 120/70-17 pada bahagian belakang.

Yamaha Y15ZR akan dijual pada harga runcit RM8,000 dengan ditawarkan tiga pilihan warna dan grafik menarik iaitu hitam, biru dan merah.

Bagaimanapun, Yamaha Y15ZR akan berada di pengedar Yamaha di seluruh negara pada penghujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:01 AM