BURUNG merpati yang digunakan untuk menyeludup dadah ke penjara.

San Jose (Costa Rica): Penjenayah di negara ini menggunakan pelbagai taktik dan helah untuk menyeludup dadah ke penjara.

Baru-baru ini, pihak berkuasa berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah ke penjara La Reforma di sini dengan menggunakan burung merpati.

Taktik itu terbongkar pada Selasa lalu apabila pengawal penjara melihat seekor burung merpati yang membawa beg kecil terbang masuk ke kawasan penjara.

Beberapa pengawal penjara kemudian menangkap burung merpati berkenaan dan terkejut apabila mendapati beg kecil yang diikat pada haiwan itu mengandungi dadah.

Pengarah penjara La Reforma, Paul Bertozzi berkata, ujian mendapati burung itu membawa 14 gram dadah jenis kokain dan 14 gram dadah jenis ganja.

“Kami percaya burung merpati itu dilatih oleh seseorang untuk menyeludup dadah ke dalam penjara ini.

“Buat masa ini kami menyiasat siapa dalang yang melatih burung merpati itu untuk menyeludup dadah,” katanya.

Menurutnya, burung merpati itu dikurung selama 40 hari bagi mengelakkan haiwan berkenaan kembali semula kepada suspek yang melatihnya.

Sebelum ini kucing dan iguana pernah digunakan untuk menyeludup dadah ke penjara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:11 AM