PAKAIAN warisan Inggeris diolah dengan cara mudah, elegan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Cetusan inspirasi daripada fesyen 1960-an London, Tory Burch menawarkan koleksi terbaru pramusim luruh 2015 dengan menampilkan beberapa jenis busana motif khas antaranya motif jacquard dan paisley.

Koleksi pakaian yang dikeluarkan jenama itu bagi musim terbabit merangkumi gaun, skirt, kardigan, kot, kasut hingga beg tangan.

Bertemakan ‘rapi bertemu semangat bebas’, perekanya membawa fesyen London pada lewat 1960-an yang sinonim dengan Carnaby Street dan pakaian warisan Inggeris yang diolah dengan cara mudah dan elegan.

Pemilihan idea Carnaby Street berikutan kehebatan gaya 1960-an yang turut tertumpu pada fesyen mod dan bohemian. Remaja perempuan memakai jaket dan kemeja teman lelaki mereka, pakaian seragam sekolah dicampur cetakan hippie serta bermain dengan motif tradisional.

Dalam koleksi musim ini, Burch memberi sentuhan yang amat baik terhadap fesyen mod yang normal sebagai satu sentuhan peribadi.

Lawatan Burch ke India juga mengilhamkan rekaan bermotif paisley selain inspirasi tekstil dan permaidani di negara itu yang menggabungkan banyak elemen menakjubkan seperti grafik, warna, pergerakan dan sejarah.

Dengan memberi tumpuan kepada potongan yang memperlihatkan skirt dipadankan blaus, gaun pendek mahupun labuh, ia cukup memberi makna kepada si pemakai yang ingin merasai kebebasan dalam gaya 60-an.

Selain busana, aksesori Tory Burch juga tidak ketinggalan melengkap gaya koleksi musim ini antaranya beg sandang Perry yang didatangkan dengan empat warna iaitu putih, beri, hitam dan ton tanah yang amat sesuai dipadankan dengan segalanya.

Bukan saja memperkenalkan helaian busana dan beg tangan, jenama ini juga menyediakan koleksi kasut, selendang, cermin mata serta perhiasan seperti anting-anting dan rantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:02 AM