Pemuda yang ditahan kerana curi pakaian dalam. FOTO ihsan pembaca.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Shah Alam: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan penduduk pangsapuri di Seksyen 17 dekat sini Selasa lalu selepas didapati mencuri pakaian termasuk coli dan seluar dalam penduduk.

Kejadian kira-kira 2.30 pagi itu disedari beberapa penduduk yang ternampak suspek mencuri pakaian dalam di salah sebuah rumah di tingkat bawah sebelum mengejar dan berjaya menahannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek turut membawa beg untuk mengisi pakaian dalam yang dicuri.

"Selepas diperiksa didapati beg itu mengandungi tujuh helai baju dalam, enam helai seluar dalam, stokin, tudung dan baju sejuk milik penduduk.

"Suspek yang bekerja kilang ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:28 PM