PASUKAN Thailand turut impi beraksi pada Piala Dunia.
Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: ASEAN mempunyai tempoh kurang daripada empat tahun sebelum membuat bidaan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Sukan ASEAN Kelima (SOMS-5) meluluskan untuk memulakan kajian menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 sebelum membuat bidaan rasmi menjelang 2019.

“Cadangan untuk membuat kajian ini sudah dibuat di SOMS-4 tahun lalu, kali ini ia mendapat kelulusan negara ASEAN dan saya gembira untuk mengumumkan kajian bidaan Piala Dunia 2034 itu akan bermula,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-menteri Sukan ASEAN KE-3 semalam.

Jelasnya, mereka berharap dapat memperhalusi dan melengkapkan kajian berkenaan tahun depan sebelum dibawa kepada wakil kerajaan masing-masing seterusnya menubuhkan jawatankuasa secara bersama.

“Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) akan mengambil peranan menguruskan kajian ini selepas menteri sukan setiap negara berbincang dan setuju dengan cadangan Malaysia untuk memulakan perkara ini secepat mungkin.

“Kita harus melakukan kajian terlebih dulu kerana tidak tahu anggaran kos untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia kerana terpaksa mengambil kira semua faktor. Selepas dibentangkan di peringkat ASEAN, bukan semua negara akan menjadi tuan rumah.

“Bagaimanapun, ia tetap akan dikenali dengan nama Piala Dunia ASEAN, tapi agak sukar 10 negara sekali gus menjadi tuan rumah, mungkin maksimum hanya empat tertakluk kepada perbincangan dengan FIFA. Jadi kos penganjuran bergantung kepada berapa banyak negara mahu menjadi tuan rumah serta pelbagai faktor lain,” katanya.

Dalam pada itu mesyuarat berkenaan juga membincangkan mengenai idea menubuhkan Liga Super ASEAN, namun masih menunggu kelulusan FIFA.

“Kita juga mencadangkan mewujudkan Hari Sukan ASEAN dan Sukan SEA Pelapis. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan mesyuarat kali ini dengan semua negara komited terhadap sukan yang bukan saja dapat menyatupadukan rakyat, tapi turut berkongsi pengalaman dalam bidang sains sukan, anti-doping serta pertukaran kepakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:35 AM